Hannah: Bila lapor gangguan seksual ada polis tanya ‘you pakai apa’

0
838

TIMBALAN Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh menjelaskan bahawa pihak berkuasa perlu peka dalam laporan gangguan seksual yang dibuat pengadu.

Jelasnya, beliau juga pernah mendapat aduan daripada mangsa mengenai soalan yang dikemukakan segelintir anggota keselamatan ketika menerima laporan gangguan seksual.

“Pihak berkuasa perlu diberi latihan supaya peka terhadap kejadian (gangguan seksual).

“Ada saya pernah terima laporan, bila mangsa buat laporan berkenaan gangguan seksual, polis terus akan tanya awak pakai apa?” katanya ketika ditemui di majlis ulang tahun ke-10 MaKasih di Subang hari ini.

Yeoh berkata demikian bagi mengulas isu berkenaan seorang pensyarah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) baru-baru ini di Dungun Terengganu yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap pelajar wanitanya.

Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa polis menutup kes dakwaan gangguan seksual tersebut dan perkara itu sudah dimaklumkan kepada pelajar itu Selasa lalu.

Kakak pelajar berkenaan, yang kecewa atas keputusan tersebut berkata pihak berkuasa menutup kes itu atas alasan “tidak mempunyai bukti yang kukuh”.

Sementara itu, Yeoh juga berkata pihak kementeriannya kini dalam persiapan untuk merangka rang undang-undang (RUU) untuk mengurangkan jurang perundangan sedia ada.

Tambahnya, ini kerana laporan terhadap gangguan seksual boleh disiasat lebih lanjut sekiranya mangsa ada perasaan trauma terhadap kejadian tersebut.

“Ini ramai orang tak faham, jika buat laporan polis berkenaan gangguan seksual, mangsa harus berasa trauma atas kejadian tersebut.

“Jadi untuk mengurangkan jurang perundangan itu, kementerian memang dalam peringkat untuk merangka RUU berkenaan gangguan seksual tersebut,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Hannah juga berharap agar ketua polis negara boleh mempertimbangkan unit khas wanita supaya dapat melihat aspek cara kepekaan terhadap gangguan seksual juga.

Untuk rekod, pada 8 Julai lalu, Malaysiakini turut melaporkan wanita 19 tahun itu mendakwa diminta ke bilik pensyarah tersebut sebelum pintu bilik dikunci dari dalam dan diajak berborak.

Pensyarah terbabit kemudian dikatakan menawarkan untuk menjadi “sugar daddy” kepada gadis itu dengan bayaran RM500 sebulan untuk khidmat seks atau “aktiviti-aktiviti lain” seperti memegang payu dara.

Lantas, pelajar UiTM itu membuat laporan polis pada 24 Jun menyebabkan pensyarah tersebut ditahan. Namun dia dibebaskan dengan jaminan polis.

https://www.malaysiakini.com/news/503627

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here