PRK Semenyih: Kejayaan kerjasama UMNO+Pas bakal diuji

0
289

Kerjasama politik UMNO+Pas dilihat berjaya di Cameron Highlands. Dan jika kerjasama ini berjaya, ternyata ia akan memberi kesan kepada landskap politik negara ini kelak khususnya dalam perihal politik orang Melayu.

 

Oleh GAMAL NASIR MOHD
[email protected]

Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands (P078) dilihat memberi lonjakan semangat kepada jentera parti bagi berdepan cabaran lebih besar dan getir pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih (N24) pada Mac ini.

Maka, ketika jentera parti beralih tumpuan dari Cameron Highlands, Pahang ke Semenyih, Selangor, ada baiknya dianalisis semula kekuatan dan kelemahan jentera parti yang memberi kemenangan BN di Cameron Highlands pada 26 Januari lalu.

Namun perlu ditonjolkan bahawa kemenangan BN di Cameron Highlands adalah juga hasil kerjasama dua parti terbesar di Malaysia iaitu UMNO dan Pas (UMNO+Pas). Gandingan itu nampaknya akan berlanjutan ke Semenyih.

Menurut sebuah thinktank pro-Pakatan Harapan (PH), Institut Darul Ehsan (IDE), “kerjasama politik UMNO+Pas dilihat berjaya di Cameron Highlands. Dan jika kerjasama ini berjaya, ternyata ia akan memberi kesan kepada landskap politik negara ini kelak khususnya dalam perihal politik orang Melayu.”

“Ternyata PH masih gagal dalam memenangi undi orang Melayu di desa (luar bandar). Perlu diingat bahawa tugas untuk menangani undi orang Melayu ini adalah tanggungjawab setiap parti politik yang berteraskan Melayu.

“Jika dalam Barisan Nasional, sudah tentulah UMNO dan jika dalam Pakatan Harapan, sudah tentu Bersatu (PPBM) atau Amanah dan juga Keadilan.

“Kegagalan Pakatan Harapan menawan Parlimen Cameron Highlands ialah kerana orang Melayu masih tidak yakin parti-parti politik orang Melayu dalam Pakatan Harapan mampu menjadi wadah utama bagi memperjuangkan hak mereka,” tegas IDE dalam kesimpulan analisisnya mengenai PRK Cameron Highlands.

Kesimpulan ini boleh memberi sedikit kelegaan kepada jentera parti UMNO+Pas, namun yakinlah bahawa pelbagai usaha akan dilakukan untuk menyekat, melemah, merosak dan menghancurkan kerjasama UMNO+Pas ini pada PRK Semenyih nanti.

Maka, UMNO+Pas perlu bersiap sedia untuk berdepan dengan serangan dan tohmahan dari pelbagai sudut oleh PH, khususnya PPBM, Amanah dan PKR. Tentera maya redbean PH (yang dikuasai DAP) pastinya akan memberi saingan terbesar kepada askar-askar “membawang” BN.

IDE melaporkan, PH bakal menghadapi kesulitan jika gagal mengekang kerjasama UMNO+Pas ini.

“Kerjasama UMNO+Pas ternyata memberi keyakinan yang lebih buat pengundi melayu khususnya di desa. Jika PH masih gagal untuk menangani isu ini dengan baik, maka ia akan memberi kesan kepada pengundi Melayu di pinggir bandar dan bandar,” tegas IDE dalam laporan bertarikh 27 Januari itu.

Jika Cameron Highlands dilihat sebagai kawasan luar bandar (desa), Semenyih pula tentunya sebuah kawasan pingir bandar yang menikmati limpahan pembangunan dari bandar-bandar di sekitarnya khususnya Kuala Lumpur dan Seremban.

 

Mengikut pecahan komposisi pengundi di DUN Semenyih (N24) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei tahun lalu, pengundi N24 berjumlah 53,257 orang, yang mana 67.71% adalah Melayu, 16.69% (Cina), 13.73% (India), 1.86% (lain-lain).

UMNO+Pas akan berdepan dengan senario yang mana pengundi bukan Melayu berjumlah 30.06% itu – Cina (16.69%) dan India (13,37%) – sebahagian besar akan mengundi PH sebagaimana yang berlaku di Cameron Highlands.

PRK Cameron Highlands adalah suatu pertembungan ketara antara dua demografi komposisi kaum yang besar jurangnya antara DUN Tanah Rata dan DUN Jelai.

“PH atau DAP dalam PRK (P078) ini berjaya mengekalkan pola peratusan pengundian yang sama dengan PRU14 khususnya ‘vote-bank’ mereka di DUN Tanah Rata,” menurut IDE.

Pada PRU14 itu, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Semenyih dari PH memperoleh 23,428 undi atau 50.04% daripada jumlah yang diterima sebanyak 46,813 undi. Hanya 87.9% daripada 53,257 pengundi N24 membuang undi pada 9 Mei tahun lalu.

Calon BN mendapat 14,464 undi atau 30.90%, manakala Pas pula 6,966 undi atau 14.88%. Maka, jika dalam kerjasama UMNO+Pas, undi yang diterima ialah 21,430 undi atau 45.78%.

Kalau bukan Melayu mengundi secara en bloc kepada PH, ia bermakna peratusan undian yang diterima oleh PH daripada undi Melayu hanyalah 19.98% (50.04% tolak 30.06%) sahaja daripada 67.71% undi Melayu yang ada dalam N24.

Ia juga bermakna UMNO+Pas menguasai 47.73% undi (67.71% tolak 19.98%) daripada undi Melayu.

Dengan menyasarkan menguasai 50% undi Melayu daripada 67.71% undi Melayu yang ada di Semenyih itu, UMNO+Pas berkemungkinan besar dapat merampas kerusi DUN Semenyih dari tangan PH.

Usaha kempen yang bersungguh-sungguh dan berterusan perlu dilakukan untuk matlamat ini. Ia bukanlah sesuatu yang mustahil.

“Isu anti-DAP dan isu Melayu Islam amat menghantui pengundi Melayu. Strategi BN dari awal lagi adalah memperlihatkan kerjasama antara Pas dan BN bagi mempertahankan isu Melayu dan Islam.

“Pengundi Melayu desa ini mempunyai ‘political wisdom’ yang tinggi. Mereka memilih UMNO kerana mereka yakin bahawa parti politik ini akan memperjuangkan hak orang Melayu dan Islam,” kata IDE.

Justeru, strategi mempertahan hak orang Melayu dan kedudukan Islam ini, ketika ia dilihat kian dicabar serta dihakis, wajar dijadikan senjata saraf paling ampuh bagi menggempur kawasan-kawasan pinggir bandar seperti Semenyih.

Jikapun UMNO+Pas dituduh bermain dengan sentimen perkauman dan keagamaan, yakinlah bahawa PH khususnya DAP akan kekal menggunakan sentimen kecinaan dan kesamarataan agama bila berdepan pengundi-pengundi bukan Melayu dan bukan Islam seperti mana berlaku di Cameron Highlands.

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here