Oleh ARRAZAQ NAZRI

BAGI melicinkan urusan menunaikan ibadah zakat umat Islam di negeri ini, kesemua 27 cawangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) di negeri ini dibuka tujuh hari seminggu termasuk pada cuti umum sepanjang bulan ini.

Menurut Ketua Divisyen Komunikasi Korporat LZS, Datin Norajun Ainun Mohd. Hashim, waktu operasi pada hari Isnin hingga Jumaat di seluruh cawangan bermula jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang.

“Manakala, pada hari Sabtu dan Ahad serta cuti umum, cawangan LZS dibuka dari jam 9.00 pagi hingga 3.00 petang.

“Waktu operasi turut dilanjutkan sehingga jam 8 malam bermula 28 hingga 31 Disember bagi memberi peluang kepada masyarakat menunaikan zakat sebelum berakhir tahun 2019, ” kata beliau dalam kenyataannya di sini.

Norajun Ainun berkata, selain taksiran zakat, orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan runding cara zakat, bayaran zakat dan melaksanakan urusan permohonan agihan zakat.

Jelasnya lagi, cawangan LZS turut menyediakan perkhidmatan pembayaran zakat menerusi kad kredit Islamik dan kad debit.

“Di samping itu, LZS menyediakan saluran lain bagi memudahkan pengeluar zakat menunaikan zakat mereka iaitu melalui saluran atas talian di ezakatpay dan perbankan internet selain ejen kutipan yang bertauliah,” kata beliau.
Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian LZS, 1-300-88-4343.

– BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here