Tak salah juara dua orang – Tok Ram

Malah Raqim turut menafi bahawa keputusan itu telah dirancang awal kerana Naqiu dan Hady, masing-masing dilihat memegang trofi juara.

0
590
FINALIS GV6 bersama juri pada sidang media yang diadakan selepas pertandingan.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

TUJUAN pertandingan diadakan adalah untuk mencari seorang juara dalam kalangan peserta yang menyertai program tersebut. Rasanya belum ada lagi pertandingan nyanyian yang mengangkat dua orang sebagai juara tapi pihak Astro menerusi program Gegar Vaganza musim keenam telah mencipta sejarah tersendiri.

Semalam (22 Disember), program yang berlangsung selama 11 minggu dari dewan Auditorum Majlis Bandaraya Shah Alam itu telah mengejutkan orang ramai apabila menobatkan Naqiu Boboy dan Hady Mirza sebagai juara bersama.

Keputusan yang tidak pernah berlaku dalam sejarah GV. Kedua-dua mereka memperoleh 87 peratus markah yang diputuskan oleh tiga juri, Datuk Ramli MS (Tok Ram), Hetty Koes Endang dan Datuk Rizalman Ibrahim, selaku juri jemputan.

Manakala Jatt yang menduduki tempat ketiga memperoleh 76 peratus diikuti dengan Nur Fatimah (68 peratus), One Nation Emcee (67 peratus) dan Sham Visa di tangga keenam sebanyak 65 peratus.

Ketua Strategi Kandungan Hiburan Astro, Raqim Ahmad, sewaktu sidang media selepas konsert berkata, keputusan menjadkan Naqiu dan Hady sebagai juara bersama adalah keputusan juri.

“Ini adalah markah sebulat suara daripada tiga juri. Apabila ketiga-tiga markah (juri) digabung inilah markah yang kita terima. Kita tidak boleh menggubah keputusan para juri jika itu markah yang telah mereka berikan, maka kedua-dua mereka selayaknya menjadi juara pada musim ini.

“Kita ada berbincang dan lepas beberapa kali kita berbahas, kami serah kepada juri yang telah kami beri 100 peratus kebebasan untuk memilih juara. Bila mereka yang profesional telah memilih jadi kita ikut. Apa yang boleh saya katakan, Astro akan top up hadiah agar sama rata,” jelasnya.

Malah Raqim turut menafi bahawa keputusan itu telah dirancang awal kerana Naqiu dan Hady, masing-masing dilihat memegang trofi juara.

“Kami tak rancangan semua ini. Memang benar anda nampak ada dua trofi kerana satu trofi itu diguna untuk fotoshot hadiah dan satu lagi khas untuk juara. Memang keputusan dibuat setelah kesemua peserta membuat persembahan.

“Pada mulanya, jujur kita pun agak terkejut dengan keputusan daripada juri tapi setelah mendapat penerangan daripada Tok Ram, kami bersetuju dan untuk berlaku adil, mereka akan dapat hadiah wang tunai RM100,000 setiap seorang dan yang lain juga sama,” jelas Raqim.

RAQIM Ahmad (barisan belakang dar kiri) bersama juara dan para juri.

Hadiah untuk juara selain trofi dan RM100,000, adalah pakej percutian ke Eropah Timur dan Timur Tengah, pakej ubahsuai  ruang tamu dan ruang makan serta penginapan di Hotel Tenera Bandar Baru Bangi.

Sementara itu, Tok Ram, selaku ketua juri mempunyai pandangan tersendiri kenapa Naqiu dan Hady dipilih sebagai juara GV6.

“Mereka tanya pandangan saya sebab keputusan sama. Sebagai ketua juri saya yang buat keputusan. Saya tak boleh pilih salah seorang, sebab Naqiu dan Hady setara, bagi saja mereka jadi juara, tak ada salahnya.

“Naqiu dan Hady layak jadi juara sebab mereka ‘hormat’ bunyi, tak sumbangkan bunyi, mereka ikut apa kehendak bunyi dan semua setara. Saya tak fkir mereka peduli siapa dapat nombor satu atau dua sebab mereka enjoy sewaktu buat persembahan. Silaturahim mereka kat atas pentas tu seperti adik-beradik. Bunyi itu tak pernah menipu dan bunyi mereka sangat ikhlas. Saya kata pada Astro, kedua-dua mereka patut juara dan semua setuju,” hurai Tok Ram.

Tambahnya, antara Naqiu dan Hady, masing-masing ada buat sedikit kesilapan kerana mereka bukan sempurna. Jelasnya, dari segi nyanyian solo, Hady sangat bagus tapi Naqiu pula mempunyai kelebihan dari segi interaksi sewaktu persembahan.

“Kedua mereka memang bagus, dari minggu pertama, kedudukan mereka satu dan dua atau tiga. Penjurian tidak dikira pada minggu sebelumnya, hanya pada malam ini saja. Tiga juri sepakat dan kedudukan memang saya yang tentukan.

“Bagi mereka keseronokan masuk pertandingan ini bukan pasal menang. Kalau melihat mereka buat persembahan, nampak mereka enjoy dan paling penting mereka jujur atas pentas. Keputusan untuk jadi juara atau tak, bukan perkara utama kepada mereka,” ulasnya lagi.

Sementara itu, sang juara bersama pula, mereka sendiri tak percaya dengan keputusan yang diumumkan pada malam tersebut.

Hady yang mendendangkan lagu Ku Bersuara sewaktu persembahan solo berkata, tidak ada masalah bila ada dua juara.

“Sebenarnya saya dan Naqiu sampai sekarang masih lagi tak percaya. Alhamdulillah, kita dapat rezeki sebegini dan kita sangat berterima kasih kepada semua yang menjayakan GV6.

“Secara peribadi saya bersetuju ada dua juara. Saya sendiri tak jangka dapat melangkah sejauh ini dalam GV. Saya hanya mahu enjoy di atas pentas dengan band yang disediakan. Saya bersyukur sangat-sangat,” katanya.

Bagi Naqiu pula, beliau menyertai GV6 untuk buat comeback selain membuka peluang untuknya bekerjasama dengan orang profesional.

“Saya masuk pertandingan untuk comeback, ini adalah peluang untuk saya bekerjasama dengan orang profesional yang saya tak akan dapat kalau saya berada di luar sana. Saya nak ilmu itu.

“Bohong kalau saya cakap saya tak nak jadi juara, tetapi dalam masa yang sama kita ada dua juara. Saya hormati Hady dan dia ada satu level yang kalau kita cakap pasal suara, saya mengaku saya bukan level dia, tapi saya tahu saya punya feel lagi deep.

“Kami masing-masing mengagumi antara satu sama lain. Saya suka teknik nyanyian dia dan dia suka dengan cara saya buat persembahan. Pada saya tak ada isu bila ada dua juara, asalkan sasaran awal untuk jadi juara menjadi kenyataan, alhamdulillah,” kata Naqiu yang mendendangkan lagu Srikandi Cintaku untuk persembahan solo.

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here