fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR — Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mewartakan tempat makan di seluruh negara sebagai kawasan larangan merokok berkuatkuasa mulai 1 Januari 2019.

Ia merupakan susulan penguatkuasaan pendidikan 12 bulan dan diikuti penguatkuasaan penuh bermula 1 Januari 2020 berteraskan perluasan pewartaan di tempat makan di bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018.

Menurut kenyataan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini, mereka yang didapati merokok di kawasan larangan termasuk di semua tempat makan akan dikenakan kompaun sebanyak RM250.

Mereka yang melakukan kesalahan pertama boleh dikurangkan kompaun kepada RM150 jika pembayaran dijelaskan di mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh SATU BULAN daripada tarikh izin kompaun diterima.

Bagi kesalahan kedua, tiada pengurangan kompaun diberikan dan bayaran penuh kompaun sebanyak RM250 akan dikenakan. Kompaun lebih tinggi iaitu sebanyak RM350 akan dikenakan bagi mereka yang melakukan kesalahan kali ketiga dan seterusnya.

Di bawah Peraturan 12, PPKHT 2004, semua pemilik premis hendaklah memastikan tempat makan mereka bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok dengan tidak menyediakan kemudahan merokok seperti bekas abu rokok, perkhidmatan menjual shisha serta lain-lain kemudahan merokok.

Pemilik premis juga perlu memastikan tanda larangan merokok yang mencukupi serta jelas dipamerkan.

Menurut kenyataan itu lagi, bagi tujuan penguatkuasaan penuh bermula 1 Januari 2020, pemilik  premis boleh dikenakan kompaun sebanyak RM250 bagi kesalahan pertama dan kedua manakala bagi kesalahan kali ketiga dan seterusnya, kompaun yang lebih tinggi iaitu sebanyak RM350 akan dikenakan.

Pihak KKM memohon kerjasama dan sokongan daripada semua pihak bagi memastikan pelaksanaan penguatkuasaan inisiatif ini.

KKM juga menasihatkan golongan perokok yang ingin berhenti merokok agar mendapatkan bantuan berhenti merokok mQuit (http://jomquit.moh.gov.my) di semua klinik kesihatan dan hospital kerajaan di seluruh negara atau di mana-mana fasiliti perkhidmatan berhenti merokok mQuit swasta yang telah diberikan akreditasi.

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here