PUTRAJAYA — Kabinet dijangkakan membuat keputusan mengenai cadangan pengambilalihan konsesi lebuh raya PLUS Malaysia Bhd dan empat lebuh raya di Lembah Klang berkaitan Gamuda Bhd, minggu depan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata keputusan itu perlu dibuat segera bagi mengelak kerajaan terpaksa membayar pampasan yang lebih tinggi kepada pengendali tol.

“Harap minggu depan. Kerajaan membekukan kenaikan kadar tol tahun ini, dan  perlu membayar pampasan. Oleh itu kami perlu membuat keputusan segera atau jika tidak, angkanya akan terus meningkat,” kata Lim semasa ditemui pemberita selepas penutupan Festival Literasi dalam Teknologi Kewangan (LIFT) 2019, di sini semalam.

Menteri Kerja Raya Baru Bian baru-baru ini dilaporkan berkata Kabinet mengarahkan butiran mengenai pengambilalihan PLUS itu dibentanghkan semula.

Empat lebuh raya berkaitan Gamuda ialah Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Sprint (Sprint) dan Terowong Smart (Smart).

Lim berkata keputusan mengenai pengambilalihan itu mesti memberi manfaat kepada tiga pihak, kerajaan, pemilik PLUS – Khazanah Nasional Bhd (51 peratus) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan 49 peratus kepentingan – selain rakyat.

Beliau berkata Kementerian Kewangan menyokong cadangan Khazanah dan KWSP bagi memastikan mereka memperoleh nilai adil ke atas portfolio pelaburan masing-masing, dan pada masa yang sama memberi manfaat kepada negara dan pengguna jalan.

Pengambilalihan itu mesti memenuhi dua syarat, diskaun minimum 18 peratus selain positif dari segi fiskal.

Sementara itu, Lim berkata Kabinet perlu memutuskan sama ada elaun ahli politik dan menteri dipotong selepas beberapa menteri bersetuju dengan cadangan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai pemotongan elaun ahli politik dan menteri.

Susulan isu Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) penjawat awam yang antaranya melibatkan doktor, ahli farmasi serta jururawat muda, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun senada dengan cadangan tersebut.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi pekeliling pada 20 Dis menyatakan BIPK bagi penjawat awam dalam 33 Skim Perkhidmatan Kritikal, akan dimansuhkan bagi pelantikan baharu mulai 1 Jan 2020.

Bagaimanapun, Syed Saddiq berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju menangguhkan pemansuhan BIPK itu, dan keputusannya hanya ditentukan selepas perbincangan bersama Jemaah Menteri pada mesyuarat pertama Januari ini.

“Bagi Kementerian Kewangan, sebarang penjimatan adalah baik. Jika ada penjimatan, sudah tentu saya sambut baik selaku Menteri Kewangan. Namun disebabkan ia melibatkan menteri lain atau kementerian lain, saya percaya perkara ini perlu diputuskan oleh Kabinet,” kata Lim.

— BERNAMA

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here