WANI Kayrie mahu tonjol bakat seni tarinya kepada penonton.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

TIDAK menolak bila dipelawa oleh pihak Astro untuk menyertai program realiti Dansa Dan Sing yang akan bermula 5 Januari ini menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).
Bagi Wani Kayrie inilah masa untuk beliau menonjolkan sisi lain dalam dirinya yang orang lain tak tahu. Tambahan pula sebelum ini beliau sudah menyertai pertandingan nyanyian Big Stage dan D’Academy Asia di Indonesia.

“Kenapa saya berani terima tawaran Astro itu, kerana saya memang menantikan peluang sebegini. Saya nak sertai program yang penilaian lebih kepada tarian sebab saya dah masuk pertandingan nyanyian sampai ke Indonesia.

“Saya masuk ini sebab nak tunjuk sesuatu yang berbeza. Selama ini orang kenal saya sebagai penyanyi saja, kali ini saya mahu tambah satu lagi kebolehan diri iaitu menari,” katanya tersenyum.

Untuk pertandingan yang menampilkan 10 peserta, Wani akan berkolaborasi dengan empat penari yang dikenali sebagai Delitz.

Jujurnya, kata Wani, beliau rasa gementar apabila mendapat tahu penari-penari yang bekerjasama dengan peserta lain, rata-rata adalah berpengalaman.

“Bohong kalau saya kata tak rasa gementar. Setiap kumpulan ada koreografer yang sangat hebat tapi kumpulan saya adalah penari yang berumur 16 tahun.

“Saingan memang kuatlah jika dibandingkan dengan koreografer lain, tapi saya rasa lega sikit sebab setiap angggota Delitz boleh reka tari. Saya adalah peserta terakhir yang ada kumpulan penari. Saya yang tubuhkan Delitz ini sebab mereka asalnya daripada kumpulan berbeza,” katanya terus terang.

Wani atau nama sebenarnya,Syazwani Abdulah, 20, turut mengakui menyertai Dansa Dan Sing secara tak langsung memberi tekanan lebih berbanding sewaktu menyertai pertandingan nyanyian.

“Pertandingan ini memang memberi tekanan lebih berbanding pertandingan lain sebab stamina kena kuat. Latihannya lebih daripada nyanyian sebab 70 peratus fokus kepada tarian. Jadi stamina kena kuat dan berikan yang terbaik untuk pertandingan ini.

“Untuk memastikan stamina kuat, saya buat latihan berenang. Dulu saya atlet dan selalu jogging setiap hari waktu sekolah. Bila dah besar, alhamdulillah stamina masih ada, tinggal nak kena tingkatkan balik,” katanya tersenyum.

Wani yang masih menuntut di Management & Science University (MSU), Shah Alam dalam jurusan undang-undang berkata, Januari ini beliau terpaksa mengganda usaha kerana selain berlatih untuk Dansa Dan Sing, tumpuan juga perlu diberikan kepada pengajian.

“Bulan ini saya ada peperiksaan akhir untuk final semester. Kena pandai susun waktu. Ada risiko juga kerana saya kena belajar, pergi latihan dan hadap peperiksaan.

“Risikonya saya kena buat dua perkara dalam satu masa iaitu belajar dan pertandingan kerana ini yang saya nak. Pada masa yang sama sedang promosi lagu Magika juga,” ceritanya.

Bila ditanya bagaimana beliau belajar dan sering menjadi pelajar terbaik sedangkan di waktu sama sibuk dengan karier seni. Kata Wani, beliau bukanlah ‘budak rajin belajar’ tapi sering beri tumpuan di dalam kelas.

“Kalau orang kata saya jenis kuat belajar, sebenarnya saya tak belajar beria-ria. Kalau balik rumah saya tak belajar. Saya hanya fokus dalam kelas. Saya masuk kelas saya tumpukan perhatian hanya waktu tu saja. Bila dekat peperiksaan baru saya buka buku dan buat ulang kaji.

“Walaupun tak ada masa belajar tapi saya tetap curi masa belajar, sebelum tidur selak buku dulu dan sekurang-kurangnya masuk dalam kepala,” kongsi Wani cara pembelajarannya.

Wani yang popular dengan lagu Jangan-Jangan kini sibuk mempromosi single Magika yang dianggapnya kena pada waktu sebab lagu itu berentak rancak.

Raja Syahiran harap dapat sokongan peminat

Sementara itu, Raja Syahiran Raja Azhanrianshah, 25, yang mahir dalam skil beatbox berkata beliau menyertai Dansa Dan Sing kerana mahu tonjolkan kebolehannya kepada masyarakat tempatan.

RAJA Syahiran.

Katanya, dalam kalangan penggiat seni tempatan, beliau umpama budak baru nak belajar, sedangkan secara peribadi Raja Syahiran sudah melakar nama di peringkat global.
Beliau merupakan satu-satunya peserta dari Asia yang berjaya melangkah ke pusingan kedua program Britain’s Got Talent pada 2013.

“Saya harap penyertaan dalam Dansa Dan Sing ini boleh buka mata masyarakat tempatan untuk melihat bakat saya. Selama ini orang lebih mengenali lagu dendangan saya, Biarkan Aku dan If I Could Go Back tanpa mengetahui siapa penyanyinya.

“Diharap penyertaan dalam program ini saya dapat mendekatkan diri dengan orang ramai kerana setiap minggu saya dan penari 2Twenty2 Squad akan memberikan persembahan yang berbeza.

“Dalam kumpulan saya ada dua penari yang pernah meraih kejayaan dalam pertandingan World Of Dance Hip Hop International. Kami mahu tunjuk bahawa anak tempatan juga berbakat dan Dansa Dan Sing adalah platform untuk kami tunjukkan kebolehan dan berkongsi ilmu dengan mereka yang minat tarian dan seni,” katanya yang juga pememang pertandingan Bakat JoHaRA anjuran radio ERA sebelum ini.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here