Trump jahil sangka bunuh Qassem Soleimani akan menguatkan kuasa AS di Timur Tengah

0
685

Oleh FETTY RARA

NAMPAKNYA Amerika Syarikat tidak bersedia dengan akibat pembunuhan pemimpin angkatan tentera Quds Iran, Qassem Soleimani.

Hakikatnya AS, khususnya Presiden Donald Trump, tidak langsung terfikir akan realiti situasi selepas tokoh tersebut dibunuh. Tindakan ganas dan terburu-buru itu tidak dapat diukur implikasinya di Iran dan juga di seluruh Timur Tengah.

Menurut Scott Ritter dalam satu ulasan yang disiarkan  oleh portal berita rt.com, setakat ini apa yang jelas ialah AS tanpa disedari telah mewujudkan imej perkasa Qassem dan kemudian AS juga yang membunuhnya.

Scott yang merupakan seorang pegawai perisikan kor marin AS dan mempunyai pengalaman mendalam berhubung situasi di Teluk Parsi dan rantau berkenaan berkata pembunuhan Qassem tidak sepatutnya dianggap sesuatu yang menggembirakan kerana apa yang akan berlaku selepas ini tiada siapa yang tahu.

Qassem sebagai Pemimpin angkata tentera Quds yang telah melonjakkan status Iran hingga menjadi sebuah kuasa serantau dibunuh semalam di atas arahan Trump dengan sokongan  pemimpin kedua-dua parti di AS yang menganggap beliau sebagai sangat jahat.

Begitu naif dan jahilnya Trump dan konco-konconya, kata Scott kerana kemunculan Qassem sebenarnya adalah hasil tindakan melampau AS di Timur Tengah.

Angkatan tentera Quds ditubuhkan bagi tujuan menundukkan kekuasaan dan kezaliman Taliban di Afghanistan bersama Perikatan Utara pimpinan  Ahmad Shah Massoud, selain berjuang bagi membebaskan semua wilayah Islam di Timur Tengah daripada tangan Israel dan kuasa-kuasa lain.

Selepas serangan tragis 9/11 di New York, AS telah menggunakan Perikatan Utara untuk bertapak di Afghanistan dan seterusnya mengusir puak Taliban. Dalam proses tersebut Qassem memainkan peranan utama membantu AS dengan menyalurkan hasil pengintipan kepada pihak tentera AS.

Serangan AS ke atas Iraq pada 2003 juga mewujudkan satu lagi peluang mengeratkan kerjasama antara Iran dan Amerika dalam usaha menjatuhkan Saddam Hussein.

AS, bagaimana pun tidak bersedia untuk berdepan dengan realiti pasca-Saddam di Iraq, terutama dalam menangani desakan penduduk Syiah di Iraq supaya diberikan  kuasa untuk memerintah Iraq.

Apabila AS mula memangsakan puak Syiah di Iraq, Qassem dan Angkatan Tentera Quds dengan berani telah berdepan dengan tentera AS di Iraq hingga begitu ramai askar AS terbunuh.

Disebabkan itu hari ini ramai veteran tentera AS yang pernah bertugas di Iraq menganggap Qassem sebagai individu yang bertanggungjawab atas kematian beratus askar AS di negara itu.

Bagi Scott, Qassem bukan sengaja tertonjol keperwiraannya, tetapi kemunculan beliau merupakan manifestasi logik respons Iran kepada ancaman pihak-pihak lain. Peranan Iran di Lubnan didefinisikan melalui tindakan Israel menceroboh dan menguasai Lubnan Selatan pada 1982, dan seterusnya mencetuskan pewujudan pergerakan Hezbollah Lubnan.

Dalam pada itu campur tangan Iran di Syria pula menyusuli tindakan campur tangan kuasa-kuasa luar, termasuk AS, Turki dan Arab Saudi bagi tujuan menjatuhkan Presiden Syria Bashar al-Assad. Tindakan Qassem mengarahkan angkatan tentera Quds membantu Assad di Syria adalah hanya satu reaksi kepada campur tangan kuasa luar di Syria.

Juga, apabila ISIS menjelma pada 2014, Qassem diundang oleh kerajaan Iraq untuk membantu menundukkan puak ganas yang berjuang dengan zalim atas nama Islam itu.

Penghasilan strategi Qassem bukan sebenarnya sebuah ‘master pelan’ Iran untuk menguasai rantau Timur tengah tetapi hanya sebahagian daripada keupayaan Iran untuk segera bertindak berikutan beberapa silap langkah AS dan sekutunya dalam melaksanakan dasar-dasar agresif di rantau itu.

Selepas penarikan diri AS daripada Perjanjian  Nuklear Iran pada 2018 dan pelaksanaan apa yang dipanggil sebagai kempen ‘tekanan maksimum’ melalui sekatan ekonomi dan strategi geo-politik yang didalangi oleh AS, Qassem telah memberi amaran kepada Trump supaya jangan sengaja mewujudkan masalah dan konfrontasi.

Dalam ucapan beliau yang ditujukan kepada AS dan Trump pada 2018, Qassem berkata, “Anda tahu keupayaan dan kuasa kami di rantau ini…anda juga tahu bahawa kami begitu kuat dalam strategi peperangan.”

Amaran Qassem itu bukannya cakap kosong kerana setelah AS menyekat penjualan minyak dari Iran, angkata tentera Quds pimpinan beliau terus mendalangi beberapa siri serangan ke atas kapal-kapal tangki minyak di Selat Hormuz, selain menggunakan puak Houthi di Yemen bagi melancarkan serangan menggunakan dron ke atas fasiliti pengeluaran minyak milik Arab Saudi.

Menyedari kelemahan AS di Iraq, Qassem mula memberi tekanan ke atas kerajaan Iraq supaya menamatkan kehadiran tentera AS di bumi Iraq. Pelaksanaan strategi Qassem berjalan walaupun tentera AS mengebom Angkatan Militia Popular Iraq pada Ahad lepas dan seterusnya membawa kepada pembunuhan beliau.

Hakikatnya pembunuhan Qassem tidak akan membawa keamanan ke Timur tengah, tetapi sebaliknya memburukkan keadaan untuk AS kerana tindakan itu adalah di atas arahan seorang Presiden Amerika Syarikat.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here