
Oleh LUQMAN HAZIQ ABDULLAH
JOHOR BAHRU – Kerana mahu mendapat duit mudah dan hidup mewah, ada segelintir pihak sanggup ‘memperjudikan’ nyawa dengan mengedar dadah.
Namun, bak kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.
Dalam lapan serbuan semalam dan kelmarin, Jabatan Siasatan Jenayah Narkortik Johor memberkas tujuh orang termasuk tiga wanita dengan dua daripadanya warga Vietnam di Batu Pahat dan Kempas, Johor Bahru.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Kamaruddin Md. Din berkata, dalam serbuan itu sebanyak 2.8 kilogram (kg) heroin, 5.8 kg syabu, 1.5 kg ketamin, 1,800 biji pil erimin 5, 870 pil ekstasi dan 170 yaba yang bernilai RM806,305 dirampas.
“Pihak polis turut merampas sepicuk pistol berserta kelopak dan 13 butir peluru hidup,” katanya dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Shafie Ismail.

Pihak polis percaya sindiket tersebut mula beroperasi sejak dua tahun lalu dan dadah berkenaan untuk kegunaan tempatan.
Namun, polis Johor masih menjalankan siasatan lanjut sama ada kumpulan itu mempunyai rangkaian dengan sindiket di negara jiran dan modus operandi mereka.
Selain itu, pihak polis turut merampas dan menyita beberapa kenderaan termasuk kereta mewah jenis BMW dan Lexus, wang tunai lebih RM10,000 dan mata wang Singapura $111.
Nilai keseluruhan harta yang disita lebih RM267,000.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.
-BebasNews
Luqman Haziq Abdullah..memulakan kerjaya sebagai Wartawan Eksekutif di Bernama pada tahun 1997 dan pernah dilantik sebagai Ketua Biro Bernama Negeri Sembilan. Menyertai Utusan Malaysia sebagai Penolong Pengarang Berita dan pernah dilantik sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia Johor