Mesra Home bimbing wargaemas berdikari

0
650
OPAH yang sentiasa jaga barang peribadinya dengan rapi.

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

SETELAH dua kali terpaksa ‘menolak’ undangan Mesra Home kerana halangan yang mendatang, tetapi kali ini saya tidak mampu menolak lagi dan menerimanya dengan penuh hormat.

Seperti yang dijanjikan baru-baru ini, pada pukul 11 pagi saya sampai di banglo dua tingkat yang dikenali Mesra Home yang terletak di Ampang dan menempatkan 15 orang wargaemas untuk melayari hidup pada usia tua mereka.

Dalam usia yang menuju noktah sebuah kehidupan sudah pasti mereka ingin didampingi keluarga, anak-anak dan cucu-cucu bukan di kelilingi mereka yang tiada pertalian darah.

Namun begitulah realiti yang dilalui oleh penghuni Mesra
Home yang harus menjalani kehidupan di sini bersama mereka yang kini bagaikan saudara sendiri.

Mesra Home bukan sekadar memberi makan minum tetapi apa yang pasti layanan dan cara mereka menyelami setiap hati dan perasaan penghuninya yang mana tujuh daripadanya menggunakan tongkat untuk berjalan dan lapan orang lagi hanya mengensot walaupun untuk ke bilik air.

Namun apa yang membanggakan banglo dua tingkat itu tidak sunyi daripada pelbagai aktiviti yang diatur antaranya senaman rengan setiap pagi, seminggu dua kali diadakan perjumpaan meluahkan apa yang terbuku di hati.

FAEZAH Ali.

“Kebanyakan daripada mereka yang tinggal dihantar oleh ahli keluarga kerana mereka tidak berkahwin dan merupakan orang kurang upaya.

“Memang pergerakan mereka terhad. Jika dulu ada yang tidak mampu nak menyuap sendiri tetapi kini mereka boleh makan sendiri,” kata Faezah Ali yang
menubuhkan Mesra Home sejak enam tahun lalu.

Daripada 15 penghuni Mesra Home itu, saya terpanggil untuk mendekati tiga orang daripada mereka iaitu Mak Lang, Opah dan Mak Niah yang mempunyai kisah tersendiri.

Mak Lang yang suka menyendiri dikatakan pernah ‘berkawan dan berbual’ dengan seekor tikus kerana kesunyian.

Apabila ditanya mengapa tikus menjadi teman berbual tanpa teragak-agak Mak Lang berkata;

“Mak Lang suka berkawan dengan tikus sebab ia jujur dan ikhlas. Tikus comel dan tak ada sifat dengki mendengki.”

Bagaimanapun demi kesihatannya, staff Mesra Home telah menutup lubang tikus berkenaan.

Sebagai ganti Mak Lang dihadiahkan seekor arnab yang diberi nama Aishah sebagai teman berbualnya.

MAK Diah.

Sementara Opah pula dikenali dikalangan penghuni di situ sebagai seorang yang sentiasa menghormati waktu solat.

Sebab itu tidak hairanlah jam di dinding baru 12.30 tengahari tetapi Opah sudah duduk di sejadah.

“Tak elok kita melambat-lambatkan solat!” kata Opah.

Sementara itu Mak Niah adalah seorang yang berkerjaya. Beliau pernah bertugas di Jabatan Kebajikan Masyarakat dan setelah bersara Mak Niah yang ingat-ingat lupa dihantar ke sini oleh anak saudaranya.

“Sudah tiga tahun Mak Niah duduk sini. Seronok sebab setiap hari ada aktiviti demi mengeratkan silaturrahim,” kata Mak Niah.

Sebelum pulang saya bersalam dengan semua wargaemas itu dan yang membuat hati saya tersentuh apabila Nek Kem yang suka berpantun bertanya;

“Bila nak datang lagi?”

Jawab saya, “Insyaa-Allah jika diizinkan-Nya, saya datang lagi!”

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here