Korea 9 Olimpik, 10 Piala Dunia, kita dibuai Munich, Moscow lagi

0
731
KOREA Selatan juara B23 AFC sekali gus ke Olimpik Tokyo 2020, diiringi Arab Saudi dan Australia sebagai wakil Asia. - Foto the-afc.com

Oleh KAKI BANGKU

SUDAH sembilan kali berturut-turut Korea Selatan layak ke Sukan Olimpik berturut-turut termasuk menerusi Kejohanan Bawah 23 Tahun AFC 2020 (Konfederasi Bola Sepak Asia), Ahad lalu.

Wira Taeguk Muda tidak pernah kalah sejak saingan Kumpulan C sehingga final yang menyaksikan mereka menghampakan Arab Saudi 1-0 di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok, Thailand.

Di mana Malaysia? Dua kali sahaja berjaya, Olimpik Munich 1972 dan Moscow 1980 – itu pun diarahkan kerajaan supaya memboikotnya.

Bagaimana dengan Wira Taeguk Seniornya? Sembilan kali juga sudah ke pusingan akhir Piala Dunia berturut-turut! Belum dicampur lagi dengan penampilan sulung, 1954 dan tempat keempat 2002 di tanah airnya.

Pernahkah Harimau Malaya? Kempunan memanjang daripada pusingan kelayakan lagi, 1973 hingga 2015-16.

SKUAD Bawah 19 Tahun Malaysia yang layak ke pusingan akhir B19 AFC di Uzbekistan Oktober ini, wajar dikekalkan bagi Projek Olimpik 2024.

Biarpun kita kerap memukul canang dengan bermodalkan wira-wira silam seperti Shaharuddin Abdullah, Syed Ahmad, M. Chandran, Wong Kam Fook, Namat Abdullah, Soh Chin Aun, Mokhtar Dahari, James Wong, Hassan Sani dan R. Arumugam.

Mungkin masih terlalu drastik untuk mencongak kemampuan skuad Tan Cheng Hoe yang bakal menyambung kempen pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Mac ini dari Kumpulan G.

Jangan cepat bermimpi, kawan! Kalau layak ke Piala Asia di China nanti pun sudah cukuplah. Taraf kita cuma setinggi Piala AFF (Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara) sahaja. Mungkin itulah perli pengkritik bola sepak tanah air.

Katalah kita mara sebagai antara dua teratas kumpulan yang mengandungi Vietnam, Thailand, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Indonesia ini. Tiket Piala Asia sudah tergenggam tetapi alang-alang mandi biarlah sampai basah!

Hendak ke Piala Dunia? Secara minimumnya, masih ada 14 perlawanan yang menanti Harimau Malaya yang meliputi pusingan ketiga, penentuan tempat ketiga antara kumpulan dan play-off antara benua bagi merebut empat setengah tiket Asia ke Qatar 2022.

Justeru kita undurkan sedikit tahap wawasan besar bola sepak kita kepada Sukan Olimpik terlebih dulu. Kategori saingannya pun hanya bawah 23 tahun dan dibenarkan disertai oleh tiga pemain senior.

USIA Akhyar Rashid, 21, (kiri) dan Luqman Hakim Shamsudin, 18, dianggap pertaruhan terbaik Malaysia menjelang Sukan Olimpik 2024.

Skuad Bawah 22 Tahun kita kendalian Datuk Ong Kim Swee sudah mengucapkan, ‘Sayonara Tokyo 2020!’ seawal Mac tahun lalu lagi apabila sekadar menghuni tempat kedua Kumpulan J kelayakan Kejohanan B23 AFC di Shah Alam.

Dikejutkan Filiina 1-0 dan Kemboja 3-1, skuad hampir sama ke Sukan SEA, November lalu pun tutup kedai lebih awal pada peringkat Kumpulan A lagi. Yang bersisa hanyalah pengajaran pahit yang diharap menjadi penawar kedukaan itu yang paling mujarab menjelang temasya ke-31 di Vietnam 2021.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kena bersikap realistik. Kesemua pasukan dalam Kumpulan A menggunakan jurulatih import termasuk si kerdil Timor Leste. Vietnam yang menang emas di Manila, semakin tersenyum lebar dengan khidmat jurulatih dari Korea Selatan, Park Hang-seo.

Kejayaan lainnya yang membawa Vietnam muncul naib juara Kejohanan B23 AFC 2018, tempat keempat Sukan Asia 2018, Piala AFF 2018 dan suku akhir Piala Asia 2019, menarik minat Indonesia menggajikan pula Shin Tae-yong yang mengemudi Wira Taeguk menumbangkan Jerman dalam Piala Dunia 2018.

Ingatkah kita siapa jurulatih Malaysia dalam kedua-dua pusingan kelayakan 1971 dan 1980? Seorang warga Scotland, Dave McLaren dan seorang lagi dari Jerman Barat, Karl-Heinz Weigang. Kedua-duanya merupakan perencana penyingkiran Korea Selatan di Seoul dan Kuala Lumpur.

Mengambil trend terkini jiran-jiran Asia Tenggara itu, mungkin sudah sampai masanya, ramuan perancangan ke arah Olimpik 2024 kita berteraskan ‘ilmu ginseng’ Korea juga? Apa salahnya jika bukti rekod mereka ampuh dan meyakinkan.

FAM juga kena semak semula program pembentukan skuad-skuad belia kita yang disasarkan ke Olimpik silam. Saringlah yang mana baik atau buruknya daripada projek Harimau Malaysia 1981-1986, Projek Barcelona 1992, Olimpik 2000 dan Harimau Muda 2007-2015.

Yang penting hasilnya ialah kemarau tiket Olimpik kita selama 44 tahun, berakhir. Kejayaan itulah dendam yang terindah, bisik para peminat bola sepak tanah air.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here