ANWAR Ibrahim menggesa kumpulan pro dan anti-Zuraida Kamaruddin yang berhimpun di luar ibu pejabat PKR supaya bersurai atau akan berisiko dikenakan tindakan disiplin.

Himpunan itu diadakan kerana Zuraida dijangka menjawab surat tunjuk sebab atas kenyataannya terhadap pemimpin parti dalam satu ucapan pada bulan lalu.

“Tindakan menyokong atau membantah di mana-mana lokasi lain juga sama sekali tidak akan mempengaruhi Lembaga Disiplin yang harus membuat keputusan secara bebas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Walaupun hujan lebat, kumpulan pro dan anti-Zuraida itu masih berhimpun dan terus melaungkan slogan seperti “Reformasi” untuk mengatasi pihak lawan.

Jemputan media yang dihantar lewat petang semalam menyatakan Zuraida akan menyerahkan surat penjelasan di ibu pejabat PKR pada 12.30 tengah hari ini.

Perhimpunan solidariti untuk menyokong Zuraida akan diadakan serentak di 10 negeri pada waktu sama beliau menyerahkan surat itu.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, parti itu mengeluarkan surat tunjuk sebab pada 17 Jan lalu dan memberi 14 hari kepada Zuraida Kamaruddin untuk membuat penjelasan dipercayai berhubung ucapannya menyasarkan pemimpin parti di sebuah hotel pada awal bulan lalu.

Katanya, Lembaga Disiplin akan membuat keputusan selepas mendengar penjelasan menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu.

Sementara itu, Setiausaha politik Zuraida, Nor Hizwan Ahmad tiba di ibu pejabat PKR pada 12.45 tengah hari untuk menyerahkan jawapan kepada surat tunjuk sebab itu kerana beliau sedang menghadiri mesyuarat Kabinet di Putrajaya.

“Hari ini tepat 14 hari untuk beliau menjawab,” kata Hizwan sambil menambah beliau tidak tahu bila Lembaga Disiplin akan mengumumkan keputusannya.

“Saya beritahu ahli Lembaga Disiplin yang dakwaan itu cacat kerana mereka merujuk satu transkrip (ucapannya).”

Beliau berkata, Zuraida menjawab setiap soalan yang dibangkitkan kerana menghormati Lembaga Disiplin, tetapi “kami mempunyai sedikit keraguan berhubung transkrip yang dirujuk dalam surat tunjuk sebab itu”.

Katanya, Zuraida akan meneruskan tugasnya sebagai naib presiden PKR serta menteri.

“Beliau akan tunggu maklum balas daripada Lembaga Disiplin.”

Diminta memberi butiran mengenai isu itu, katanya: “Ia ada dalam ucapannya. Saya cuma mahu kata kebenaran menyakitkan.”

Hizwan berkata, Zuraida belum menerima notis tuntutan daripada Saifuddin yang kecewa dengan bekas ketua Wanita PKR itu mendakwanya menerima “berjuta ringgit” daripada PAS dan sebuah tabung amanah untuk orang miskin di Kelantan.

Hizwan mengadakan sidang media ketika kumpulan pro dan anti-Zuraida saling melaungkan slogan di ibu pejabat PKR.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/01/29/bersurai-atau-berdepan-tindakan-anwar-beritahu-penyokong-pro-anti-zuraida/
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here