FOTO: Media Permata.

TEGUR… Dua tahun lalu, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah bertegas arah semua murid beragama Islam di negara itu wajib solat berjemaah di surau sekolah sebelum balik ke rumah.

Peringatan tersebut dititahkan baginda sendiri ketika perasmian majlis sambutan Israk wal Mikraj peringkat kebangsaan pada 2018 susulan kajian dapati 81 peratus pelajar malas sembahyang.

Sultan negara kecil di pulau Borneo itu malah mahu perkasa pendidikan Islam di semua sekolah awam meliputi 206 buah aliran rendah dan 47 buah aliran menengah serta 19 aliran agama.

Kali ini, baginda dilaporkan media tempatan luah kekesalan apabila dimaklumkan ada sekolah kerajaan yang sengaja kurangkan tempoh masa pembelajaran al-Quran berbanding subjek lain.

Pemerintah berusia 73 tahun itu secara terbuka tegur sikap pandang ringan institusi pendidikan di negara berkenaan yang didapati memendekkan waktu pengajian kitab suci Islam tersebut.

“Jadi cuba bayangkan jika mata pelajaran Al-Quran diabaikan ketika di dalam pengajian? Beta berharap perkara ini diambil perhatian sewajarnya,” tekan baginda dipetik media negara itu.

Pemerintah ke-29 kesultanan Brunei itu bertitah demikian pada Majlis Musabaqah Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1441H/2020M di Berakas baru-baru ini.

Program tahunan yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa itu menyaksikan Sultan Hassanal Bolkiah menekankan kepentingan pelajaran al-Quran sejak kecil.

“Dengan banyak baca al-Quran boleh mengundang berkat, sedang berkat ini pula bererti ‘lebih’ atau melimpah-limpah dan antara yang lebih atau melimpah itu boleh saja berupa rezeki.

“Antara rezeki, berpunca daripada keberkatan sedekah, keberkatan istighfar, keberkatan usaha dan seumpamanya. Ini semua boleh dirumus sebagai amal takwa,” titah baginda lagi.

Sehubungan itu, Sultan Brunei menegaskan bahawa baginda tidak akan jemu menasihatkan agar semua lapisan masyarakat di negara ini melazimkan diri dengan sentiasa baca Al-Quran.

“Kita semua dituntut untuk bersama-sama hiasi seluruh rumah kita dengan ‘cahaya’ al-Quran supaya ia terus menyinar dan memberkati segala aktiviti kita,” titah Sultan Hassanal Bolkiah.

Selain itu, usaha pemahaman ayat suci al-Quran juga adalah keutamaan bahkan kerajaan ketika ini titah baginda lagi, dalam usahakan penerbitan Mushaf Brunei Darussalam dan Tafsirannya.

“Beta turut mengucapkan penghargaan kepada semua peserta musabaqah pada kali ini. Kalah atau menang bukanlah matlamat utama, tetapi keikhlasan harapkan pahala daripada Allah SWT.

“Itulah yang patut menjadi keutamaan. Kepada para qari dan qariah yang berjaya menjadi juara wakili negara, kita berdoa semoga Allah memberkati kejayaan mereka,” titah Sultan Brunei.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here