Adik kepada pesakit kes pertama M’sia positif koronavirus

0
645

MALAYSIA mencatatkan dua lagi kes koronavirus baru (2019-nCoV) melibatkan seorang rakyat Malaysia dan seorang warganegara China.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan di negara ini meningkat kepada 14 orang berbanding 12 kes semalam.

Dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata rakyat Malaysia berkenaan adalah adik kepada lelaki warga Malaysia berusia 41 tahun yang didapati positif virus berkenaan pada 3 Februari lalu selepas pulang dari Singapura.

Wanita itu dikatakan mempunyai kontak langsung dengan abangnya apabila kembali ke kampung halamannya di Sungai Petani pada 23 Jan untuk merayakan Tahun Baru Cina.

Sembilan hari kemudian iaitu pada 1 Feb, dia menghidapi demam dan sakit tekak serta batuk tiga hari kemudian.

Wanita itu kemudian mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta.

Dr Dzulkefly bagaimanapun tidak menyebut lokasi klinik berkenaan atau bila wanita itu menerima rawatan di situ.

Katanya, sebaik sahaja abangnya dikesan positif 2019-nCoV – wanita itu kemudian dijejaki oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan disahkan positif semalam (5 Feb).

Hanya ibu kepada dua orang anak itu disahkan positif daripada seramai 42 orang yang diuji selepas dipercayai mempunyai kontak dengan abangnya.

Dzulkefly berkata wanita berusia 42 tahun itu kini ditempatkan di wad isolasi Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah dan keadaannya kini stabil.

Kes ke-14 membabitkan pelancong dari Wuhan

Sementara itu, seorang pelancong wanita berusia 38 tahun yang berasal dari Wuhan – China di mana virus berkenaan dikatakan berasal – juga didapati positif 2019-nCoV.

Pada 25 Jan lalu, dia tiba di Malaysia bersama ibunya dan tiga lagi rakan. Kumpulan itu melawat beberapa tempat pelancongan di sekitar Kuala Lumpur.

Pada 1 Feb, dia mendapatkan rawatan akibat demam di Hospital Kuala Lumpur.

“Doktor yang merawat beliau telah membenarkannya balik dengan dibekalkan ubatan bagi merawat gejala yang dialami dan juga Home Assessment Tool,” kata Dzulkefly ketika membaca kenyataan media.

Beliau dan ahli kumpulannya telah diarahkan untuk tidak ke mana-mana bagi menjalani Perintah Pengawasan dan Pemantauan.

Pada 5 Feb, pelancong berkenaan didapati positif virus itu selepas dirujuk semula ke Hospital Kuala Lumpur oleh Pejabat Kesihatan Daerah.

“Beliau kini telah dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Kuala Lumpur dan berada dalam keadaan stabil,” kata Dr Dzulkefly.

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here