Oleh AHMAD ABDUL HAMID

TINDAKAN India memilih untuk memulaukan import minyak sawit bertapis dan minyak sawit mentah dari Malaysia sekalipun memberi kesan kepada eksport produk tersebut, ia tidak harus dipandang dari sisi negatif semata-mata.

Pemulauan itu pun ada hikmah. Ia secara tidak langsung ia membuka peluang kepada Malaysia untuk mengeksport lebih banyak bahan tersebut ke negara lain di Asia, Asia Tenggara, Timur Tengah, Eropah dan Afrika.

Hampir 25 peratus daripada keseluruhan eksport minyak sawit Malaysia adalah ke India. Selebihnya adalah pasaran lain seperti Pakistan, Arab Saudi, Bangladesh dan Ghana.

Pemulauan pembelian yang dilakukan India terhadap minyak sawit Malaysia sebagai membantah kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung isu Kashmir dan undang-undang kerakyatan baharu, mewujudkan lompang yang agak luas.

Eksport komoditi itu ke India bagi Januari 2020 merosot 85 peratus daripada tahun sebelumnya kepada 46,876 tan, terendah sejak 2011.

Kita mengetahui bahawa India merupakan negara terbesar membeli minyak sawit Malaysia sejak lima tahun lalu.

Justeru lompang yang ditinggalkan India ini perlu segera diisi dengan menambah eskport ke negara -negara lain.

Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, dalam kunjungan ke Kuala Lumpur baru-baru ini telah menyatakan komiment membeli lebih banyak minyak sawit Malaysia.

Bulan lepas Pakistan mengimport 170,802 tan berbanding dengan 80,666 tan tahun sebelumnya, satu peningkatan yang signifikan.

Bangladesh juga telah meningkatkan importnya kepada 12,527 tan berbanding dengan hanya 575 tan tahun sebelumnya. Malah Rusia juga berminat untuk menambah import minyak sawait selain menerokai potensi di negara-negara lain.

Dengan senario ini, Malaysia sebagai pengeksport minyak sawit kedua terbesar dunia, tidak harus terlalu bimbang dengan pemulauan India.

Pada masa sama, India kini bergantung sepenuhnya kepada import minyak sawit dari Indonesia untuk memenuhi keperluan negara itu.

Dengan kedudukan Indonesia ‘memonopoli’ eksport ke India, harga boleh sahaja ditentukan mengikut budi bicaranya, sekali gus melemahkan India untuk melakukan tawar menawar.

Jika Indonesia menaikkan harga minyak sawit maka kesannya akan dirasai oleh India. Mereka tiada pilihan melainkan membeli kerana tiada alternatif.

Mungkin akibat tidak dapat bertahan dengan harga yang tinggi daripada pengeksport tunggal, akhirnya India mungkin terpaksa kembali kepada Malaysia.

Pada masa sama, dengan permintaan India bertumpu kepada Indonesia, dua kemungkinan boleh berlaku.

Pertama, Indonesia tidak mampu memenuhi permintaan India sepenuhnya akibat kekakangan pengeluaran dan sebagainya.

Kedua, Indonesia juga tidak mampu mengeksport ke negara pelangganya yang lain kerana semua eksport tertumpu kepada India.

Dalam kedua-dua senario ini, ia boleh memberi kelebihan kepada Malaysia. Jika Indonesia gagal memenuhi sepenuhnya permintaan India, Malaysia berpotensi kembali menjadi pembekal utama India.

Begitu juga jika Indonesia gagal memenuhi permintaan pasaran lainnya selain India, ada harapan negara-negara tersebut akan berpaling kepada Malaysia.

Sebenarnya India menanggung risiko tidak mendapat bekalan minyak sawit mencukupi apabila memberi kuasa monopoli kepada Indonesia.

Indonesia juga menanggung risiko tidak mampu membekalkan sepenuhnya permintaan India dan pada masa sama berdepan risiko kehilangan pasaran lain.

Jika ini semua berlaku, kelebihan bakal memihak kepada Malaysia. Dengan kekurangan bekalan di pasaran, logiknya langkah terbaik ialah berpaling kepada Malaysia.

Seperti mana kata bijak pandai, apabila satu pintu tertutup ada banyak pintu lain terbuka. Pergilah ke arah pintu yang terbuka.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here