SIBUK… Perniagaan ini dilaporkan makin popular sehingga permintaan ke atas produknya amat laris apabila berlaku sebarang isu ketegangan diplomatik antara negara itu dengan musuhnya.

Namun, tiada siapa sangka di Iran memang wujud sebuah kilang terbesar khusus buat bendera negara tertentu hanya untuk dibakar oleh ribuan penunjuk perasaan yang marah dalam rusuhan.

Kilang terletak di Khomein, kira-kira 333 kilometer di barat daya ibu kota Teheran, cuma hasilkan bendera bagi tiga negara seteru politik utama Iran iaitu Amerika Syarikat (AS), Britain dan Israel.

Uniknya, setiap bendera itu dibuat sendiri dengan tangan oleh para pekerja sama ada lelaki dan perempuan sebelum digantung untuk dikeringkan secara semula jadi tanpa bantuan dari mesin, lapor Arab News.

Meskipun kelihatan begitu tradisional, kilang itu mampu keluarkan 2,000 helai bendera AS dan Israel sepanjang Januari lalu yang dianggap sebagai rekod bulan paling sibuk dalam sejarahnya.

Ia susulan puluhan siri bantahan di seluruh negara dengan rakyatnya luah kebencian ekoran kes pembunuhan Jeneral Qassem Soleimani di luar lapangan terbang Baghdad, Iraq pada 3 Januari.

Panglima tentera tertinggi Iran tersebut maut dibedil peluru berpandu dari sebuah dron tentera AS sebagai balas dendam kerana kedutaannya di ibu negara jiran itu diserang perusuh Syiah.

Iran bertindak balas dengan lancar serangan ke atas sebuah pangkalan AS di Iraq beberapa hari kemudian, namun disindir oleh Presiden Donald Trump sebab hanya lipas dan semut terbunuh.

Bagaimanapun, konflik Teheran-Washington jelas beri faedah besar kepada kilang yang dikenali sebagai Diba Parcham itu apabila tahun lalu ia mampu hasilkan 1.5 juta kaki persegi bendera.

Menurut pemiliknya, Ghasem Ghanjani: “Kami tiada masalah pun dengan rakyat AS atau Britain, tetapi kami ada masalah dengan kerajaan mereka terutama si presiden yang buat dasar salah.

“Bahkan warga AS dan Israel sendiri tahu bahawa kami sejak dahulu memang langsung tiada masalah dengan mereka, Jika ada bakar bendera negara, ia sekadar protes ke atas pemimpin.”

Dalam pada itu, pengurus kawalan kualiti kilang berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Rezaei berkata, pembakaran bendera sepanjang bulan lalu dianggap masih bersifat minimum.

“Jika banding tindakan pengecut AS bunuh Soleimani, perbuatan bakar bendera AS hanya aksi paling kecil mampu dibuat warga biasa Iran, tidak sama dengan cara pemimpin kami,” ujarnya.

Dia merujuk peristiwa Kedutaan AS di Teheran ditawan pelajar tegar pro-Revolusi Iran pada 1979 lalu dengan 52 diplomat dan rakyat negara itu dijadikan tebusan genap selama 444 hari.

Sejak insiden itu, hubungan diplomatik dua negara ini terputus bahkan pemimpin Iran gelar AS sebagai Syaitan Besar kerana dasarnya lindungi Israel waima ada lebih 10,000 Yahudi di Iran.

Ironi, bulan lalu juga menyaksikan ribuan rakyat Iran sendiri protes di jalanan termasuk bakar bendera negara itu sebagai bantah kes pesawat awam Ukraine ditembak jatuh dekat Teheran.

Penunjuk perasaan marah tindakan kerajaan cuba sorok fakta tentera Iran yang bedil Boeing 737-800 itu secara tidak sengaja mengorbankan kesemua 176 penumpang dan anak kapalnya.-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here