Kongres Maruah Melayu dan peralihan kuasa

1
2838

KONGRES Maruah Melayu (KMM) yang diadakan pada 6 Oktober 2019, lima bulan lepas adalah satu tarikh keramat.

Ia mencetuskan satu gelombang kebangkitan orang Melayu yang tertekan dengan situasi politik mutakhir. Mereka merasakan pemerintahan itu gagal dikawal secara lahiriah.

Pelbagai tokoh-tokoh politik Melayu-Islam hadir ke kongres itu. Tun Dr Mahathir Mohamad hadir atas kapasiti selaku orang Melayu dan memberi ucap tama; berduyun-duyun umat memenuhi Stadium Melawati Shah Alam itu.

Ia berlaku secara spontan — atas desakan maruah yang tercabar.

Maka itu, sesuatu perlu dilakukan demi menegakkan kembali maruah bangsa tersebut di tanah air ini. Ia bukan retorik, tetapi itulah yang berlaku pada hari ini.

Jika Allah mengizinkan, maka percaturan politik yang sedang terjadi pada saat ini akan memperlihatkan pertautan semula umat Melayu di negara ini.

Apa yang berlaku ini adalah sejarah yang sedang tercipta di hadapan mata kita.

Sejarah lazimnya berlaku 1000, 100 atau 50 tahun lampau; tetapi sejarah itu kini sedang berlangsung.

Kejatuhan kerajaan BN terdahulu juga adalah sejarah yang berlaku dalam hidup kita.

Ternyata Yang Maha Esa mahu supaya kita melihat kejatuhan kita; mengambil iktibar dengan keinsafan dan diperbaiki; agar umat ini menjadi umat yang kembali kepada fitrahnya.

Dia mahu kita insaf. Tidak mengulangi kesilapan buruk itu; jangan gelojoh; jangan bermewah-mewah; jangan sombong dan bongkak — dan kembalikan hak kepada rakyat yang memberi kuasa.

Sehingga rencana ini ditulis drama politik tanah air masih berjalan.

Anwar Ibrahim yang bercita-cita menjadi PM Malaysia Ke-8 masih mengharapkan ihsan.

DAP, yang dikritik oleh pelbagai pihak kerana kerakusannya sehingga orang Melayu marah, juga menagih ihsan yang sama.

Namun ini adalah politik. Politik Malaysia sedang melalui satu proses kematangan, yang mungkin akan mengambil masa panjang untuk benar-benar matang.

KMM sebenarnya tidak mati pada tarikh 6 Oktober. Tetapi ia bergerak secara strategik untuk memastikan permuafakatan ini tercapai.

Apa yang berlaku ini adalah sejarah politik terbesar negara. Kita akan melihat bagaimana sebuah kerajaan di peringkat persekutuan akan melalui satu proses peralihan — bukan melalui rampasan kuasa — tetapi melalui persefahaman yang dijalin.

Keunikan sistem kerajaan negara ini seperti termaktub di dalam Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong berkuasa penuh atas budi bicara Tuanku, melantik seseorang Perdana Menteri.

Hanya satu syarat sahaja dikenakan iaitu orang yang hendak dilantik hendaklah “pada hemat Tuanku mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat”.

Perdana Menteri yang dilantik itu berhak menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk melantik mana-mana ahli Dewan Rakyat/ Dewan Negara sebagai ahli jemaah Kabinet.

Itulah yang berlaku. Keadaan yang sebenarnya memaksa ianya berlaku. Dua tahun Pakatan Harapan memerintah memperlihatkan kegelisahan dalam masyarakat. Terlalu gopoh ia diterajui.

Rakyat menjadi muak dengan adu-domba politik pemerintah.

Tun Dr Mahathir sedar mengenai kegelisahan itu. Dia sendiri seolah-olah gagal mengawal suasana. Dalam masa yang sama, beliau mahukan sokongan padu agar suasana itu dapat diimbangkan.

Sesungguhnya, tuntutan seorang pemimpin seperti Tun Dr Mahathir, yang sedia ada dalam naluri beliau, memerlukan keberanian dan ketegasan serta ketaqwaan, yang diberi petunjuk dan hidayah oleh Allah SWT, agar kesejahteraan dan keamanan, terutama kestabilan dan kuasa politik Melayu dapat dikekalkan.

KMM bangkit menyahut. Inilah hasilnya — setakat ini.

Kepada Allah kita berserah.

— BebasNews

Please follow and like us:

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here