Kerajaan baharu; bukan kerajaan berasaskan parti?

0
2543

PERDANA Menteri interim, Tun Dr Mahathir Mohamad mungkin akan meneruskan tanggungjawab menerajui negara “sekiranya komposisi kabinetnya betul dan bersih”.

Ini bermakna Tun boleh kembali sebagai PM sehinggalah kepada PRU15 akan datang.

Namun percaturannya sekarang ialah beliau berhak memilik mana-mana anggota jemaah Kabinetnya yang sesuai dengannya.

Mungkin tiada lagi party-based Cabinet (kabinet berasaskan parti) tetapi kepada individu-individu ahli-ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara yang paling layak.

“Tidak semestinya beliau tidak akan memilih dari DAP, jika beliau layak. Juga bukan semua dari UMNO yang akan diambil.

“Yang mana-mana telah terpalit dengan macam-macam skandal rasuah dan sebagainya beliau tidak mahu terima,” kata sumber yang terdekat dengan Tun Dr Mahathir kepada bebasnews hari ini.

Ini juga bermakna kerajaan akan datang bukan lagi bercorak Kerajaan Pakatan Harapan (PH) atau Kerajaan Muafakat Nasional (MN) atau Kerajaan Pakatan Nasional (PN).

Kata sumber itu, mengapa Tun Mahathir bersetuju untuk memegang jawatan PM interim (sementara) ialah kerana beliau tidak mahu melihat negara merudum dalam kecelaruan politik ini.

“Ia termasuk menguruskan ekonomi, menstabilkan pasaran modal dan saham, pakej ransangan ekonomi, menemui pegawai tinggi kerajaan dan sebagainya,” kata beliau.

Walaupun tiada menteri, pentadbiran negara masih beroperasi menerusi Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan ketua-ketua setiausaha kementerian.

Petang ini sehingga esok, Tuanku Yang di-Pertuan Agong sedang menemu bual 222 ahli Parlimen bagi menentukan arah sokongan mereka terhadap Perdana Menteri.

Baginda akan menemubual satu-demi-satu selama dua ke tiga minit setiap seorang. Hari ini membabit sebanyak 90 ahli Parlimen dan selebihnya dan esok sebanyak 132 orang.

Temubual itu disaksikan oleh Ketua Setiausaha Negara.

— BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here