PRK Semenyih: Pas kekal berkerjasama dengan UMNO

0
265
(GAMBAR ATAS) CALON BN, Zakaria Hanafi (tengah) diiringi para pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Pas serta penyokong-penyokong bergerak ke Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih (N24) di Dewan Sri Cempaka, Saujana Impian, Hulu Pangat, Selangor, 16 Februari 2019. – GAMBAR UTUSAN

Pas Pusat menjelaskan pendirian tersebut selaras dengan pendirian konsisten Pas yang meletakkan kepentingan Islam dan Melayu mengatasi yang lainnya.

Oleh GAMAL NASIR MOHD ALI

PAS sekali lagi menegaskan bahawa parti itu konsisten dalam mengekalkan hubungan dengan UMNO atas dasar perpaduan ummah dan solidariti pembangkang.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Marang, Terengganu hari ini (17 Februari), Pas Pusat menjelaskan juga pendirian tersebut selaras dengan pendirian konsisten Pas yang meletakkan kepentingan Islam dan Melayu mengatasi yang lainnya.

Kenyataan akhbar oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan itu sekali gus menafikan dakyah dan dakwaan bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih (N24).

Semalam (16 Februari) Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Pas tidak akan menyokong serta bekerjasama dengan UMNO pada PRK Semenyih dan beliau mempunyai bukti bertandatangan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurut Tun Mahathir, perakuan tersebut dibuat dalam pertemuan mereka di Yayasan Al-Bukhary, Kuala Lumpur semalam. Turut serta Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Bagaimanapun, menurut Takiyuddin, perakuan bertulis yang diberikan adalah berupa komitmen sokongan Pas terhadap kepimpinan Tun Mahathir di atas dasar menjaga kepentingan agama, negara dan bangsa sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perakuan itu ternyata tiada langsung mempunyai kaitan dengan pertandingan empat penjuru dalam PRK DUN Semenyih pada 2 Mac ini.

“Persetujuan turut dicapai untuk menjalin kerjasama yang lebih baik berdasarkan semangat federalisme antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kelantan serta Terengganu, khususnya dalam hal berkaitan pentadbiran, pembangunan dan pemberian royalti,” jelasnya lagi.

Pas Pusat, kata Takiyuddin, telah menyatakan pendirian tidak bertanding dalam PRK Semenyih dan memberi laluan kepada wakil pembangkang, iaitu Barisan Nasional (BN).

Malah difahamkan penamaan calon BN, Zakaria Hanafi, 58, telah disokong oleh pemimpin Pas tempatan semasa proses penamaan calon PRK DUN Semenyih di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang, Saujana Impian, Hulu Langat semalam (16 Februari) dan dihadiri Takiyuddin sendiri.

Kenyataan hari ini telah dikeluarkan setelah mendapat penjelasan daripada Abdul Hadi dalam Mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas Pusat yang bersidang pada 17 Februari di Marang, Terengganu.

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here