David Teo serik ‘buat’ filem

0
753
"KOLESTROL vs Cinta" lakonan Kamal Adli dan Tiz Zakiah adalah filem terakhir terbitan MIG kerana rugi dan hanya mampu mencapai kutipan tiket RM48,000 sahaja.

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

SETELAH 15 tahun menceburi bidang perfileman, akhirnya David Teo meletakkan noktah penglibatannya sebagai penerbit filem kerana tidak sanggup menanggung kerugian.

“Tahun 2017 adalah tahun terakhir saya sebagai penerbit filem. Saya serik buat filem kerana risikonya tinggi dan bermula dari tahun 2014 kebanyakan filem saya rugi!

“Bagaimanapun kutipan tiket untuk filem Kolestrol vs Cinta (2017) benar-benar membuatkan saya serik untuk menerbitkan filem.

“Bayangkan filem dengan kos penerbitan sebanyak RM1juta hanya mampu mencapai kutipan tiket RM48,000 sahaja,” kata Penerbit Metrowealth Pictures Sdn. Bhd. (MIG), David Teo.

“Kolestrol vs Cinta” yang dilakonkan oleh Kamal Adli dan Tiz Zakiah adalah satu daripada 23 buah filem terbitan MIG sepanjang tahun 2014-2017.

DRAMA 49 episod “Suri Katriana” antara drama terbitan MIG dan telahpun disiarkan di Astro Oktober tahun lalu.

Bukan itu sahaja, malah tindakan stesen TV yang kini menurunkan harga pembelian filem membuatkan beliau tawar hati.

“Jika pada awal tahun 2000 apabila penerbit menjual filem ke setiap stesen TV seperti RTM, TV3 dan Astro kita boleh dapat hampir RM1juta tetapi sekarang tidak lagi.

“Ini disebabkan Astro ada filem terbitan sendiri begitu juga TV3, jadi mereka tidak lagi mahu membeli filem terbitan kami. Sementara RTM pula bayarannya untuk sebuah filem terlalu rendah dan ini benar-benar mengecewakan kerana ia tidak dapat membantu kami sebagai penerbit,” kata David Teo.

MIG mula menerbitkan filem pada tahun 2002 dengan filem pertamanya “Syukur 21”. Filem yang diarahkan oleh Eddie Pak dengan kos penerbitan sebanyak RM2juta itu menampilkan kumpulan Raihan sebagai pelakonnya.

Sayangnya filem yang menjadi titik permulaan pembabitan beliau sebagai penerbit menemui kegagalan.

Bagaimanapun filem itu tidak mematahkan semangat beliau untuk menerbitkan filem. Sejak 2002 sehingga 2017, MIG telah menerbitkan 108 filem.

SYUKUR 21 filem pertama terbitan MIG walaupun rugi tetapi ia menjadi titik tolak syarikat ini dalam bidang perfileman.

Antara filem terbitannya yang mencecah box-office ialah Ngangkong (RM8.5juta -2010), Kongsi (RM8.1juta – 2011) dan Adnan Sempit -2 (RM9.5juta – 2012).

Menurut David Teo, disebabkan tidak mahu menanggung risiko kerugian yang berpanjangan, MIG kini lebih menumpukan perhatian menerbitkan program TV.

DAVID Teo.

Selain drama bersiri, MIG juga menerbitkan sebuah program masakan 13 episod iaitu “Chef Insta” untuk RTM dan akan bersiaran pada Julai ini.

Chef Insta yang akan bersiaran selama 30 minit menampilkan Cef popular antaranya Cef Datuk Fazley, Cef Datuk Ismail
Ahmad dan pelakon baru, Bella Astilla.

Selain itu, sebagai youtuber dengan subscriber seramai 184,000, David Teo menumpukan cara pemasaran melalui sosial media dengan menerbitkan iklan, filem pendek dan drama komedi.

Bukan itu sahaja, malah MIG kini dalam proses menerbitkan drama bersiri untuk siaran di youtube.

“Mungkin ramai yang tidak tahu, sebenarnya pendapatan dari youtube memang lumayan jika anda tahu caranya,” kata David Teo yang juga menjalankan urusniaga jual beli hartanah.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here