Bahana gila kuasa

0
554

Oleh AHMAD ABDUL HAMID

SESAL dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Akibat gelojoh, tamak dan tidak sabar, hilang kuasa yang mungkin terlalu sukar untuk diraih kembali.

Barangkali kenyataan di atas paling sesuai untuk menggambarkan sikap para pemimpin Pakatan Harapan (PH) sehingga kuasa yang dipegang tidak sampai dua tahun terlepas dari genggaman.

Ketika rakyat mengharapkan mandat yang diberi digunakan untuk kemakmuran negara dan rakyat, isu lain yang tidak relevan lebih banyak membayangi tempoh pentadbiran mereka yang singkat.

Isu peralihan kuasa nampak lebih diberi keutamaan dan berterusan diperkatakan sehingga rakyat bosan. Seolah-olahnya itu sahaja fokus utama pemerintahan.

Sekali pun garis peralihan kuasa sudah ditetapkan, ia tidak pernah padam daripada ditonjolkan semata-mata kerana gelojoh.

Fokus untuk negara dan rakyat seolah-olah sudah tidak penting sedangkan rakyat inilah yang memilih mereka membentuk kerajaan.

Isu peralihan yang sering diperkatakan juga menyerlahkan sikap tiada keikhlasan, saling mengesyaki atau tidak percaya di kalangan para pemimpin PH.

Pemimpin tertentu, sama ada melalui dirinya sendiri atau penyokongnya, terus mendesak peralihan disegerakan.

Walau pun Tun Dr Mahathir sudah menegaskan akan menyerahkan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas persidangan Kerjasama Asia Pasifik (APEC), janji ikhlas Tun tidak dipercayai.

Akibatnya rasa curiga terus menebal menjadikan kekukuhan PH yang selama ini tidak begitu kukuh semakin rapuh dan goyah.

Akhirnya kerapuhan ini membawa keruntuhan apabila Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menarik diri daripada PH. Selebihnya adalah sejarah.

Sekarang nasi sudah menjadi bubur, apa lagi hendak dikenangkan. Anwar tidak sabar hendakkan kuasa dan bersama rakan baiknya DAP sentiasa menekan Tun.

Tingkah laku ini serta sikap DAP yang menekan kerajaan dalam beberapa isu seperti tulisan jawi dan Unified Examination Certificate (UEC) juga menyerlahkan sikap mereka mengutamakan kepentingan kaum.

Mereka gagal memahami perkara-perkara seperti ini boleh mengguris orang Melayu kerana kerajaan seperti didominasi oleh sebuah parti yang hanya menjaga kepentingan kaum sendiri.

Ini ditambah dengan sikap anggota PH yang tidak sedar PH sudah menjadi kerajaan. Mereka mengkritik dan menghentam kerajaan dan Perdana Menteri. Sudah lama menjadi pembangkang hingga perangai tidak berubah walau pun sudah jadi kerajaan.

Jika PH melaksanakan mandat yang diberi oleh rakyat dengan baik dan lancar serta sifat tidak percaya mempercayai dibuang, apa yang telah berlaku mungkin dapat dihindarkan.

Kini segalanya sudah terlambat. Sokongan atau luahan untuk kembali menghidupkan dan memperkuat perpaduan PH sudah tidak berguna setelah Yang Di Pertuan Agong memilih Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri ke-8.

Ini adalah pengajaran dan penyesalan yang sudah tidak memberi makna. Bagai sudah terantuk baharu tengadah. Tunggulah sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 untuk mencuba nasib.

Sehingga itu terimalah apa yang sudah terjadi. Tidak guna lagi untuk menangisi susu yang tumpah lantaran sikap sendiri yang tamak dan tidak sabar serta saling mencurigai.

Muhasabah diri dan sedarilah orang tamak selalu rugi. Syak mengesyaki pula umpama api dalam sekam. Ia membakar tanpa kelihatan. Apabila sedar sekam sudah hangus.

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here