Taring Harimau Selatan perlu lebih tajam – Mora

0
381
JDT meraikan kemenangan sulung kempen ACL 2020 dengan menumpaskan juara 2001 dan 2002, Suwon Samsung Bluewings 2-1 di Johor Bahru, semalam. - Foto AFC

Oleh KAKI BANGKU

PELUANG sudah banyak dicipta tetapi jika lebih tajam disudahi, langkah Johor Darul Ta’zim (JDT) pasti lebih panjang dalam saingan Kumpulan G Liga Juara Asia (ACL) 2020 selepas kemenangan 2-1 di Johor Bahru, semalam.

“Kami punya beberapa peluang. Itu yang terpenting, kini kami perlu lebih tajam dan menyambar kesempatannya,” kata ketua jurulatih Sang Harimau Selatan, Benjamin Mora.
Dia mengulas kejayaan menumbangkan juara ACL 2001 dan 2002, Suwon Samsung Bluewings, seperti dipetik daripada laman sesawang the-afc.com.

Tuan rumah menang menerusi jaringan sepakan penalti Gonzalo Cabrera dan tandukan jarak dekat Mauricio pada minit ke-17 dan 73 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sekali gus kemenangan sulungnya sejak membuka kempen peringkat awal 12 Februari lalu.

JDT kecundang 5-1 kepada juara Piala Maharaja Jepun, Vissel Kobe yang dipimpin bekas pemenang Piala Dunia 2010 bersama Sepanyol, Andres Iniesta di Stadium Misaki Park, Kobe ketika itu.

Mora merujuk kepada beberapa peluang gol semalam yang terhidang buat Diogo Luis Santo, penyerang import JDT dari Brazil dan Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia 2019, Safawi Rasid pada minit keempat dan 80.

“(Jadi lebih tajam), bererti lebihkan kerja sepasukan. (Semalam) pasukan bekerjasama dengan baik. Apabila hilang bola, kami datang semula dan menyerang sepanjang masa,” kata jurulatih dari Mexico itu.

Namun JDT dikejutkan gol penyamaan Terry Antonis menerusi rembatan jarak jauhnya pada minit ke-51 yang memukau penjaga gol, Farizal Marlias.

Kemenangan ini melonjakkan skuad Mora ke anak tangga kedua Kumpulan G, tiga mata di belakang Vissel Kobe yang turut menewaskan Suwon 1-0 di gelanggang lawan, 19 Februari lalu.

Mora turut mengakui kegagahan Suwon, berkata, “satu perlawanan yang amat getir. Kelab Korea Selatan itu amat berdisiplin, amat gagah dan amat bertenaga.”

Katanya, “kami hanya perlu bertahan sedikit untuk menanti peluang itu. Bergerak secara sepasukan, kami bertukar kepada mengasak dan melindungi sesama sendiri.
“Saya fikir kami jalankan tugas dengan baik dan buat peminat, kami amat gembira dengan keputusan ini,” katanya.

Sementara itu ketua jurulatih pelawat, Lee Lim-saeng tidak mahu menyalahkan mana-mana anak buahnya termasuk pemberian penalti oleh Min Sang-gi ketika membentes Diogo yang mendorong gol sulung JDT.

“Sebagai jurulath, saya tidak mahu salahkan pemain. Saya bertanggungjawab penuh. Kami tidak dapat mengharungi cuaca (panas di Johor Bahru). Inilah kali pertama pemain-pemain kami beraksi dalam keadaan sebegini.

“Namun kami tiada pilihan dan telah mencuba sedaya upaya untuk menanganinya. Selepas kalah (kali kedua), apa yang boleh saya katakan kepada pemain (kecuali) terus berikan kata perangsang dan cuba lebih keras. Itu sahaja,” katanya.

Sementara itu, laman sosial Johor Southern Tigers memetik ulasan Diogo: “Saya sangat gembira kerana rakan sepasukan telah berusaha sebaik mungkin dan saling bekerjasama.

“Kami sudah bermain tiga perlawanan berturut-turut yang sangat sukar (termasuk menewaskan Kedah untuk mempertahankan Piala Sumbangsih di venue sama, 28 Februari lalu).

“Saya gembira dengan kemenangan ini dan saya tidak terganggu meskipun saya tidak dapat menjaringkan gol. Ini permainan berpasukan,” kata Diogo.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here