Dirgahayu Perdana Menteri Muhyiddin

Oleh DATUK PROFESOR EMERITUS DR. HASHIM YAACOB & ADI SUKMA

YAB Muhyiddin Yassin, dengan Izin dan Takdir Allah SWT, saudara telah dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-8. Maka pimpinlah negara kita ini dengan hati yang tenang dan redha, dengan mengingati pada semua hukum Allah sebagai seorang makhlukNYA, dan sebagai pemimpin manusia.

Bawalah kesejahteraan dan kemuliaan kepada rakyat Malaysia. Semoga Allah SWT menganugerahkan saudara dengan ilham dan iltizam untuk meratakan tanah tempat rakyat bersila, memacak tiang tempat bersandar dan menanam pokok tempat rakyat berteduh.

Kami berdoa agar saudara sentiasa bermuhasabah supaya kebaikan demi kebaikan yang akan dapat saudara berikan kepada rakyat.

Kami tahu bahawa banyak lubang dan ranjau di tengah jalan menanti anda. Tetapi percayalah bahawa ini hanyalah cubaan yang mampu saudara lalui dengan baik.

Tidak mungkin saudara akan gagal dan tidak disayangi rakyat sekiranya saudara menjalankan tugas dengan sifat-sifat siddik, amanah, tabligh dan fatonah.

Saudara bersihkanlah minda bersama hati dan bertekadlah untuk menjadi khalifah yang sejati, yang berdiri di atas kaki peribadi sendiri serta permuafakatan dengan pembantu-pembantu yang sejati, yang berpengalaman dan bijak bestari.

Saudara binalah negara kita ini supaya menjadi aman dan makmur sehingga menjadi mahsyur seantero dunia.

Bagi mencapai tujuan ini, saudara hendaklah menguatkan semangat juang dengan niat yang putih bersih.

Saudara kembangkanlah sifat belas kasihan dan pengampun, adil, tegas serta tekad yang kuat di dalam menangani sebarang cabaran yang mendatang.

Utamakan usaha untuk kebaikan rakyat sebelum kebaikan kepada saudara sendiri.

Jadikanlah masalah rakyat sebagai masalah saudara sendiri.

Berikan rakyat harapan dan impian bahawa masa hadapan mereka akan menjadi lebih terang dan gemilang.

Saudara Perdana Menteri Muhyiddin,
ingatlah di dalam hati kepada Surah Al-Raad ayat 11 sekiranya saudara berhasrat berjihad untuk memartabatkan bangsa, negara dan agama:

“Sesungguhnya Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu bangsa, kecuali bangsa itu sendiri yang berusaha untuk mengubahnya.”

Semalam kami mendengar perutusan saudara di kaca televisyen. Terasa dalam hati bahawa saudara ikhlas mengenai apa yang saudara katakan, iaitu:

Kesedaran saudara bahawa rakyat mahukan sebuah kerajaan bersih, berintegriti dan bebas rasuah; Berjanji akan melantik anggota Jemaah Menteri dari kalangan individu yang bersih, berintegriti dan berkaliber; Memberi keutamaan kepada usaha-usaha untuk meningkatkan integriti dan tadbir urus kerajaan yang baik; Membanteras amalan rasuah dan salah guna kuasa dengan meningkatkan penguatkuasaan dan memperkemaskan undang-undang, peraturan dan amalan yang berkaitan; Prihatin kepada kemahuan rakyat dan cekap dalam menyelesaikan permasalahan rakyat;

Rakyat memerlukan wang untuk membeli barang keperluan harian, membeli buku dan keperluan sekolah untuk anak-anak, membayar bil air, letrik dan sewa rumah, membayar pinjaman kereta dan kediaman, serta lain-lain keperluan untuk menyara kehidupan sekeluarga; Rakyat perlukan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dengan kos yang berpatutan; menangani wabak Coronavirus; Pendidikan yang berkualiti untuk anak-anak dan akan memastikan taraf pendidikan yang setanding dengan negara-negara maju; Negara yang stabil, aman dan makmur, yang menawarkan kehidupan yang lebih baik dan; Memberi tumpuan kepada pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Yang saudara sampaikan semalam adalah perkara-perkara yang tersangat penting yang bukan senang untuk dilakukan, walaupun boleh dilakukan sekiranya saudara mempunyai tekad yang tinggi untuk melakukannya.

Berdoalah saudara memohon kepada Allah SWT supaya dianugerahkan kepada saudara minda dan tubuh badan yang sihat serta kelanjutan usia untuk menjalankan janji-janji mulia yang telah saudara lafazkan itu. Ingatlah kepada janji Allah SWT yang berbunyi:

“Berdoalah kepadaKu, pasti Aku Kabulkan untuk kalian.” (Qs. Ghafir 60).

Jadilah saudara Perdana Menteri Muhyiddin, seorang wira yang akan memberi cahaya dan harapan kepada Negara. Kami doakan saudara berjaya.

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here