UTUSAN Melayu sama ada syarikat atau surat khabar kini tinggal sejarah. Akhbar Utusan Melayu (jawi) sudah lama meninggalkan kita manakala sebagai syarikat pula sudah dikuburkan. Utusan Melayu ‘rumi’ iaitu Utusan Malaysia sudah dijual permit penerbitannya. Begitu juga Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo Ahad! juga sudah dijual seluruhnya. Tidak ada apa lagi yang tinggal untuk ‘Melayu’ malahan majoriti pekerja Melayu pula kehilangan kerja.

Amat sedih, dalam usia 80 tahun, lebih 1,600 bekas pekerjanya bergelut dengan gaji tertunggak, pampasan pemberhentian dan bayaran VSS yang sepatutnya telah selesai. Terlalu banyak sejarah untuk diceritakan. Selain akhbar, Utusan Melayu banyak menerbitkan majalah serta terlibat dalam penerbitan buku serta novel. Antara majalah yang popular termasuklah Mastika, Wanita, URTV, Al Islam, Saji dan banyak lagi. Entah siapa ‘pemilik’ produk itu nanti.

Menyelak kembali kenangan manis Utusan Melayu, organisasi ini selain melahirkan Presiden Singapura, ia juga tempat berkumpulnya kakitangan yang akhirnya bergelar Sasterawan Negara, Tokoh Wartawan, wakil rakyat, menteri, timbalan menteri, usahawan dan pelbagai lagi. Wartawan dan jurugambarnya juga menerima pelbagai anugerah termasuk Hadiah Kajai.

Begitulah hebatnya Utusan Melayu yang bagi kebanyakan pekerja menganggapnya sebagai universiti. Semuanya itu adalah ‘bahan sejarah’. Mungkin sebahagiannya sudah ditulis dan ada lagi yang perlu ditulis sehinggalah saat ‘kematiannya’. Saya sendiri sebelum meninggalkan Utusan (VSS) sedang mengedit dua buku bergambar berkaitan Utusan dan Dr. Mahathir Mohamad. Malangnya tidak tahu apa kesudahannya tetapi ada yang disiarkan secara bersiri sempena 80 tahun Utusan.

Utusan Malaysia dijangka diterbitkan semula tidak lama lagi oleh pemilik permitnya Media Mulia. Pengambilan petugas sudah bermula.

Penutupan akhbar bukan lagi luar biasa, cuma mengejutkan apabila ia melibatkan sebuah akhbar arus perdana. Sebelum ini memang ada akhbar ‘kecil’ milik syarikat tertentu yang tidak mampu meneruskan penerbitan akibat pelbagai faktor. Sebahagian besarnya tidak mampu dihidupkan kembali dan jika ‘hidup semula’ mungkin untuk tempoh tertentu tetapi kemudiannya hilang. Banyak halangan dan cabarannya. Surat khabar yang ditutup termasuklah Watan, Harian Nasional, Bintang Timur dan Echo.

Kembali kepada Utusan Melayu, banyak bahan yang boleh disimpan sebagai sejarah. Mungkin nilainya amat tinggi pada masa hadapan lebih-lebih lagi selepas dikuburkan. Biasanya sejarah akan ditulis dan disimpan di satu tempat. Menulis sejarah mungkin lebih mudah berbanding ‘menyimpan’ bahan sejarah. Agaknya di mana akan tersimpan bahan sejarah Utusan Melayu? Muzium atau arkib mungkin hanya menyimpan surat khabar atau keratan akhbar. Selebihnya tanggungjawab siapa?

Berkaitan isu ini, pada 15 Oktober 2019, saya pernah menulis mengenai khazanah Utusan Melayu ini di bawah tajuk Milik siapakah khazanah Utusan?

Amat malang jika pelbagai bahan yang sepatutnya disimpan sebagai bahan sejarah terabai atau diabaikan. Utusan Melayu terutama di pusat maklumatnya mempunyai pelbagai sejarah atau khazanah yang amat bernilai untuk rujukan masa hadapan. Alangkah baiknya jika wujud muzium atau galeri yang dapat menjamin keselamatan bahan-bahan ini. Tidak pasti sama ada Utusan pernah memikirkan perkara ini atau tidak.

Selama di Utusan, banyak yang boleh dipamerkan untuk sebuah galeri bagi menceritakan perihal Utusan. Bermula di Singapura dan berakhir di Kuala Lumpur. Apakah yang berlaku kepada bahan-bahan itu. Adakah ia juga bakal dilelong seperti lelongan perabot, kerusi, meja, buku dan majalah? Jika diambil alih adakah bahan-bahan itu akan disimpan sebagai arkib untuk tatapan generasi akan datang atau akan dilelong oleh pemiliknya dengan harga yang tinggi pada masa hadapan? Maksudnya menjual ‘sejarah’ untuk mengaut keuntungan.

Apa yang dibimbangkan, syarikat atau pihak yang mengambil alih tidak prihatin dengan bahan-bahan ini yang akhirnya mungkin terarah kepada melupuskannya. Apatah lagi industri media cetak yang semakin lemah.

Ketika berkunjung ke Utusan, timbul persoalan ke mana akan pergi surat khabar dan majalah lama yang dijilid, buku, gambar, poster, bunting, hadiah atau cenderamata dimenangi Utusan dan pelbagai lagi? Bukan sedikit Utusan memenangi anugerah dan pengiktirafan. Banyak yang sudah tidak kelihatan. Bagus jika ada pihak yang menyimpannya tetapi siapa dan apa kesudahannya?

Mungkin bahan yang ada di Pusat Maklumat dalam keadaan selamat tetapi apakah status yang berada di luar? Bagaimana ‘khazanah’ yang ada di Jabatan Pengarang, Jabatan Pengeluaran, Jabatan Pemasaran, Unit Komunikasi dan pelbagai lagi?

Pada 23 Januari 2020, ketika berkunjung ke ibu pejabat Utusan untuk melihat lelongan buku dan majalah, saya singgah di bekas kafe Utusan. Di situ ada Panggung Utusan. Apa ada di situ? Pertama gambar yang menjadi latar belakang pentas mini panggung Utusan. Untuk makluman di sini pada setiap Jumaat akan berlangsung program Busking Bersama Buskers.

Selain gambar-gambar lama yang menghiasi panggung itu, terdapat dua papan atau batu tanda berkaitan Utusan. Pertamanya bagi memperingati pembukaan rasmi bangunan tambahan Utusan di Jalan Chan Sow Lin oleh Tunku Abdul Rahman pada 1965. Satu lagi untuk memperingati pembukaan rasmi bangunan Utusan di Jalan lima oleh Sultan Selangor, Sultan Hisamuddin Alam Shah pada 6 Februari 1958.

Begitu juga papan tanda perasmian bangunan ibu pejabat korporat Utusan oleh Najib Tun Razak serta loji percetakan termasuk Kompleks Sri Utusan di Bangi yang dirasmikan oleh Dr. Mahathir Mohamad, loji Tebrau oleh Muhyiddin Yassin dan Gong Badak oleh Sultan Terengganu, Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah. Bahan-bahan seperti plak perasmian ini sepatutnya disimpan rapi sebagai bahan sejarah Utusan. Tetapi di mana?

Saya tidak pasti sama ada pengurusan terakhir yang diketuai Abd. Aziz Sheikh Fadzir turut memikirkan hal ini. Baguslah jika sebelum digulung, ada inisiatif untuk memelihara khazanah ini. Hanya mereka yang mempunyai ‘roh perjuangan’ Utusan akan prihatin. Mereka yang tahu nilai sejarah Utusan berbanding RM akan melihat keperluan ini. Jika tidak ada, maka suatu masa nanti andai ditanya di mana sejarah Utusan disimpan, jawapannya, tanyalah orang terakhir yang ‘mencorakkan’ Utusan.

Ingatlah Utusan bukan sekadar surat khabar tetapi satu sejarah untuk negara.
Amat malang jika semuanya dilelong atau ‘dibakul sampahkan’ Perkara ini akan berlaku jika pengurusan jatuh ke tangan mereka yang tidak peduli nilai sejarah.
Mungkin sejarah hanyalah nostalgia dan tidak mampu ‘menyara’ kehidupan.

Saya menulis ini tanpa mengetahui tindakan yang diambil bagi memelihara sejarah ini. Maaf jika semua ini dalam ‘pemuliharaan’. Sebagai bekas kakitangan, saya sekadar melontarkan harapan. Mungkin jika UMNO berkuasa, isu ini dapat diketengahkan tetapi UMNO sedang bergelut dengan ‘kuasa dan takhta’. Mungkin Arkib Negara boleh bertindak. Rasanya belum terlambat.

Dulu, Najib sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO amat mengambil berat hal Utusan. Begitu juga Rais Yatim di Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Mungkin mereka masih boleh membantu untuk memelihara ‘khazanah’ Utusan.

Tidak berhasrat terlalu emosional dalam hal ini tetapi seperti saya sebut di atas, Utusan adalah satu sejarah. Bagi yang tahu nilai sejarah, sebatang pen pun akan disimpan. Amat malang ketika pihak berkenaan sedang ghairah melelong dan menjual apa sahaja yang ada untuk melunaskan hutang syarikat termasuk kepada mantan pekerjanya, ‘sejarah’ mungkin turut dilelong, dijual beli atau dimusnahkan.

Akhirnya adakah sejarah Utusan juga akan dikebumikan bersama-sama syarikat dan akhbar terbitannya?

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here