Surat Terbuka kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN): Kemelut politik negara sepatutnya mematangkan Perkhidmatan Awam

1
4878
FOTO: GAMBAR IHSAN TWITTER MOHD ZUKI ALI.

SAYA dimaklumkan rata-rata kakitangan awam amat bersyukur dengan perkembangan politik yang berlaku dalam negara mutakhir ini. Bagaimanapun, ada juga yang berduka.

Tidak perlulah kita mengulas mengapa mereka suka dan mengapa mereka berduka dengan episod politik yang berlaku sepanjang dua minggu ini.

Kakitangan kerajaan, khususnya pegawai-pegawai tinggi seharusnya menunjukkan tahap profesionalisme yang tinggi dalam perkhidmatan mereka.

Semasa negara dalam suasana darurat misalnya merekalah yang menjadi pentadbir negara.

Semasa negara lumpuh apabila Perdana Menteri meletakkan jawatan tempoh hari dan jemaah menteri dibubarkan, maka Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua-Ketua Setiausaha (KSU) kementerianlah yang menggerakkan jentera kerajaan.

Mereka ketika itu berada di puncak menara kerajaan dan melampaui asas-asas politik kepartian.

Syabas kepada kira-kira sejuta kakitangan awam negara yang berjaya mengharungi cabaran itu semasa negara sedang menghadapi antara gawat politik terburuk dalam sejarahnya.

Sesungguhnya jasa bakti kakitangan awam tidak boleh diganti dengan wang ringgit termasuklah cubaan mahu mengurangkan bilangan mereka.

Tahniah kepada KSN, Datuk Seri Mohd. Zuki Ali yang berjaya menasihati dan membantu Perdana Menteri Sementara (Interim) sehingga sempat melancarkan Pakej Rangsangan Ekonomi COVID-19, yang amat diperlukan negara.

KSN juga berupaya membantu Yang di-Pertuan Agong yang ketika itu menjadi tampuk pemerintahan negara, sehinggalah kepada pelantikan Perdana Menteri Ke-8.

Ia jelas menunjukkan di depan mata kita bahawa itulah fungsi sebenar anggota-anggota Perkhidmatan Awam semasa keadaan negara tidak stabil dan buntu.

Namun begitu, kakitangan perkhidmatan awam juga harus menunjukkan sikap sebenar mereka untuk tidak memihak kepada mana-mana puak.

Oleh itu, jadikanlah iktibar supaya seboleh mungkin kerajaan baharu ini tidak lagi melantik orang-orang politik atau yang mempunyai kecenderungan kuat dengan politik ke jawatan-jawatan strategik. Ia termasuk sebagai Peguam Negara, Ketua Pesuruhjaya SPRM mahupun SPR.

Polemik yang melanda negara sebenarnya banyak mematangkan lagi kita. Oleh sebab itulah negara yang terbabit secara langsung dalam peperangan-peperangan dunia misalnya, hari ini muncul sebagai negara-negara maju.

Kemelut politik negara ini juga sepatutnya mematangkan lagi fungsi perkhidmatan awam.

Para pegawai tinggi kerajaan harus bersikap positif terhadap rakyat yang memerlukan kesinambungan, kelestarian kerajaan yang tulus dan; berkerja keraslah untuk memacu kesejahteraan, keamanan tanah air yang kita miliki ini.

Jangan sekali-kali menidakkan hak rakyat untuk bersama-sama membangunkan negara, sama ada mereka itu peniaga korporat apatah lagi usahawan kecil dan sederhana.

Bertanggungjawablah bersama amanah yang dipikul.

Kita berharap wahai Datuk Seri KSN, tiada lagi selepas ini soalan-soalan pelik daripada para pegawai tinggi tuan “Encik ini orang Tun Mahathirkah, orang Tan Sri Muhyiddinkah, orang Najibkah, orang Paskah, orang UMNOkah dan sebagainya.”

Fenomena tidak profesional ini masih berlaku dahulu dan sekarang. Ia harus dihentikan serta-merta.

Semoga Malaysia terus aman, maju dan makmur.

Terima kasih.

— BebasNews
Please follow and like us:

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here