Kenyataan Khalid Abdul Samad hina Yang Dipertuan Agong-Datuk Azhari Shaari

0
36875
KETUA UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari (depan empat dari kiri) dan ahli UMNO bergambar bersama salinan laporan polis terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam.

Oleh ARRAZAQ NAZRI

SHAH ALAM – Pihak yang membantah perlantikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin hingga tergamak mengulas keputusan Yang Dipertuan Agong tersebut jelas menghina kebijaksanaan institusi tertinggi di negara ini.

Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata, tindakan mengulas keputusan tersebut oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad jelas menunjukkan sikap jelik pemimpin pembangkang.

“Hari ini saya membuat laporan polis berhubung satu klip video yang tular di media sosial. Dalam video berdurasi 1 minit 17 saat tersebut, Khalid telah mengeluarkan satu kenyataan yang mempunyai maksud tersirat bahawa Yang Dipertuan Agong bersifat menyebelahi kaum tertentu dalam isu pemilihan Perdana Menteri Malaysia yang baharu.

“Kenyataan tersebut menyentuh tentang jumlah Ahli Parlimen Malaysia yang menyokong dan tidak menyokong seseorang calon Perdana Menteri mengikut pecahan kaum,”katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 6 di sini hari ini.

Terdahulu Azhari membuat laporan berhubung kenyataan Khalid semasa berucap dalam siri jelajah pemimpin Pakatan Harapan dekat sini hujung minggu lalu.

Azhari berkata, kenyataan yang dibuat oleh Khalid jelas menunjukkan beliau berniat untuk mewujudkan pandangan bahawa Yang Dipertuan Agong bersifat menyokong atas faktor tertentu dan bukan atas dasar kepentingan rakyat secara keseluruhan.

Justeru pihaknya tidak teragak-agak membuat laporan polis atas kenyataan tersebut dan berharap kenyataan bersifat hasutan dan tersebut disiasat dan Khalid dihukum sebagaimana pihak yang menghina institusi raja khususnya Yang Dipertuan Agong.

Mengulas mengenai kemungkinan pihaknya bakal disaman kerana membuat laporan tersebut oleh Khalid, Azhari berkata pihaknya menyerah kepada kebijaksanaan pihak polis untuk menentukan kesahihan klip video tersebut.

“Kita ada bukti dan rakaman video, terpulang kepada sesiapa termasuk Khalid untuk membuat tindakan selanjutnya. Sebab itu kita buat laporan pada hari kabinet diumumkan menunjukkan kita komited untuk menjaga nama baik Yang Dipertuan Agong, “katanya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here