‘SPR’ urus pemilihan pucuk pimpinan FAM 2021

0
293
HAMIDIN Mohd. Amin (tengah) bersama-sama tujuh wakil rakan penaja MPFL 2020.

Oleh KAKI BANGKU

PROSES pemilihan pucuk pimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tahun depan bakal dikendalikan sebuah jawatankuasa bebas yang ibarat ‘Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)’ dan bukan lagi sepenuhnya di bawah sekretariat persatuan.

Pelantikan dan keanggotaan jawatankuasa ini akan diputuskan dalam mesyuarat Kongres FAM Ke-56 pada 4 Julai ini yang dibuat selaras kod pemilihan yang digunakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

“Ahli-ahlinya akan bebas dan berasingan langsung daripada FAM serta tiada kena-mengena dengan ahli-ahli gabungan persatuan dalam memastikan pengendalian pemilihan 2021 dijalankan secara telus.

“Sekretariat FAM selepas Kongres itu hanya akan membantu atau seperti setiausaha untuk jawatankuasa ini sebagaimana fungsinya kepada semua jawatankuasa lain dalam persatuan.

“Jawatankuasa bebas ini juga mempunyai kuasa dalam memastikan pengendalian pemilihan FAM dijalankan mengikut arahan yang ditetapkan (kod FIFA dan AFC),” kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam di Arena Futsal Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.

HAMIDIN Mohd. Amin (kanan) dan Naib Presiden FAM, Datuk Rosmadi Ismail melakukan sepakan gimik perasmian MPFL 2020.

Beliau ditemui pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) 2020 dan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Sementara itu, kata Stuart, FAM masih boleh mengadakan siri perlawanan persahabatan antarabangsa pada kalendar pertandingan FIFA dan AFC yang mengumumkan penundaan tarikh tiga perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, hari ini, termasuk yang melibatkan Harimau Malaya.

Laman sesawang the-afc.com hari ini melaporkan, perlawanan yang dijadualkan dalam kalendar FIFA itu ialah 23 hingga 31 Mac dan 1 hingga 9 Jun, ditunda ke tarikh yang akan diberitahu semula ekoran kebimbangan kepada penularan wabak maut, Covid-19.

Skuad Tan Cheng Hoe akan menghadapi Amiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Al Maktoum, Dubai pada 26 Mac, Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil (31 Mac) dan bertandang ke Thailand pada 9 Jun dalam perlawanan Kumpulan G pusingan kedua kelayakan itu.

“Keputusan FIFA dan AFC itu bukan melarang kita bermain, hanya perlawanan rasmi kelayakan yang ditangguhkan tetapi kalendarnya masih ada dan terserah kepada negara-negara ahli gabungan (untuk menggantikannya dengan siri persahabatan,” katanya.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi berkata, “beberapa negara telah dihubungi untuk dijadikan lawan persahabatan itu seperti Filipina, Singapura dan India tetapi yang tampak sedikit harapan atau memberikan reaksi ialah mungkin New Zealand.
Kata Stuart, “ada negara-negara yang bimbang pemain mereka pula ditahan daripada balik ke tanah air mereka jika datang ke Malaysia dan didapati positif dijangkiti kerana negara kita dianggap sudah masuk Zon Merah Covid-19.”

Sementara itu, MPFL 2020 yang bermula 14 Mac ini menyaksikan pertambahan tiga pasukan, menjadikannya 12 berbanding sembilan dalam musim pertama lalu dengan pendatang baharunya ialah Sarawak, Kelantan, Negeri Sembilan dan KPM-PST Mustangs.

Saingan musim kedua ini juga dijangka lebih sengit dengan pengenalan kuota seorang pemain import bagi setiap pasukan selain jurulatih asing dengan juara bertahan, Selangor bakal membuka tirai MPFL, menentang Kuala Lumpur pada 15 Mac.

Naib juara 2019, Pahang pula bakal berdepan Sarawak pada 14 Mac. Sebanyak 22 hari perlawanan dijadualkan sehingga 26 September ini sebelum lapan pasukan terbaik liga beraksi dalam pusingan kalah singkir, Piala Futsal Malaysia dari 31 Oktober hingga 12 Disember.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here