DFP hargai sumbangan S. Atan

0
767
POSTER Konsert Senandung Lebaran - A Tribute to S. Atan yang akan diadakan di Dewan Filharmonik Petronas pada 13 Jun ini.

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

BENARLAH kata pepatah Melayu, ‘Hanya jauhari yang mengenal maknikam’ dan ia memang sesuai diberikan kepada Dewan Filharmonik Petronas (DFP) yang sanggup menganjurkan Konsert Senandung Lebaran – A Tribute to S. Atan pada 8.30 malam 13 Jun ini.

Ini adalah konsert pertama sempena hari raya dipentaskan di DFP sejak ia mula beroperasi pada 1998.

Walaupun setakat ini tiada kenyataan rasmi daripada DFP mengapa konsert itu diadakan tetapi bagi saya ia adalah satu penghargaan buat beliau.

Penghargaan kerana sumbangan S.Atan dalam bidang seni dan beliau boleh dianggap sebagai legenda pada kelasnya yang tersendiri.

Hampir enam dekad dalam industri ini bukanlah satu jangka waktu yang singkat. Meskipun penyanyi dan bakat baru datang dan pergi silih berganti, tetapi S. Atan,71, atau nama sebenarnya, Hashim Said masih kekal sebagai penulis lagu, komposer dan konduktor.

Sepanjang waktu itu, tidak pernah ada satu pun konsert diadakan sebagai menghargai sumbangannya dalam bidang seni.

Konduktor Orkestra Filharmonik Malaysia, Ahmad Muriz Che Rose.

Sejak 1960-an sehingga hari ini, S. Atan telah mencipta lebih 1,000 lagu untuk artis di Malaysia dan Singapura.

Antara artis popular yang pernah merakamkan lagu-lagu ciptaannya adalah Anita Sarawak (Berakhir Cinta) Allahyarham Datuk Sudirman (Biarku Sengsara Sendiri), dan Kawan Setia nyanyian Datuk DJ Dave.

Di antara lagu-lagu ciptaannya itu, 50 daripadanya adalah lagu bertemakan hari raya yang dinyanyikan artis popular tanah air dan artis Singapura.

Apabila ditanya mengenai konsert itu, S. Atan yang pernah menerima Anugerah Khas Planet Muzik 2016, Nadi Cipta (2008), Anugerah Sri Wirama AIM 2006 dan Lagu Melayu Persembahan Terbanyak “Pandang-Pandang Jeling-Jeling” di MACP 2002, ketika dihubungi berkata;

“Saya tidak menduga DFP begitu
menghargai sumbangan saya dalam bidang penciptaan lagu. Sebab itu apabila pihak DFP ‘melamar’ saya tahun lepas untuk konsert ini perasaan sedih dan gembira bercampur baur.

“Apa lagi konsert ini akan diserikan dengan lagu-lagu yang bertemakan hari raya ciptaan saya.

ORKESTRA Filharmonik Malaysia.

“Saya rasa gembira dan dihargai apabila ahli kumpulan Black Dog Bone memberitahu mereka telahpun membeli tiket untuk menyaksikan konsert ini.

“Sebenarnya sampai hari ini saya tidak tahu lagu-lagu pilihan DFP dan Ahmad Muriz Che Rose selaku konduktor Orkestra Filharmonik Malaysia.”

Bagaimanapun anda jangan salah faham kerana pada konsert itu nanti, S.Atan bukan ditugaskan sebagai konduktor sebaliknya beliau diundang sebagai tetamu undangan istimewa.

S. Atan akan hadir bersama isterinya, Norezan Yeop dan anak-anaknya.

Kehadiran S. Atan bukan sahaja untuk menikmati lagu-lagu hari raya, malah beliau juga menerima bayaran yang lumayan!

Walaupun sampai saat ini, S. Atan tidak tahu siapakah penyanyi dan lagu hari raya pilihan Orkestra Filharmonik Malaysia, tetapi antara lagu popular ciptaannya ialah Cahaya Aidil Fitri (Black Dog Bone), Hari Mulia (Datuk Sheila Majid), Indahnya Beraya Di Desa (Azlina Aziz) dan Salam Aidil Fitri (Datuk Jamal Abdillah).

Tiket untuk konsert ini berharga RM99, RM139, RM199 dan RM299 boleh dibeli di [email protected]

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here