Dulu Personal Shopper, kini tauke butik

0
509
NOR Rafidah dan suami, Abdul Hadi kini meneraju butik Sellection.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

PASTI ada yang akan mengirim pesanan supaya beli barang itu dan ini, bila ada rakan-rakan yang pergi bercuti di luar negara. Kalau kirim beserta wang boleh saja ditunaikan permintaan mereka tapi kalau setakat kirim air liur (cakap saja), abaikan.

Sebenarnya, sambil bercuti, kita boleh menjana pendapatan juga terutamanya bagi yang kaki shopping. Orang yang hobinya membeli-belah ini tahu saja produk apa yang terlaris di pasaran pada masa kini.

Alang-alang memenuhi kehendak sendiri, anda boleh gunakan kepakaran diri menilai produk berjenama untuk dijadikan karier sampingan iaitu sebagai personal shopper.
Siapa kata personal shopper tak boleh buat duit? Kalau tak percaya lihat saja kejayaan Nor Rafidah Khairuddin, 31, yang merupakan pengasas Sellection.

Butik Sellection boleh dikunjungi di Jalan Wangsa Setia 4, Wangsa Melawati, Kuala Lumpur yang sudah beroperasi sejak 2018 yang menjual beg tangan berjenama dan mewah.
“Ikutkan sejak 2015, saya sudah mula sebagai personal shopper kerana saya obses dengan beg tangan. Waktu itu saya menetap di Montreal, Kanada mengikut suami, Abdul Hadi Wisman bekerja di sana.

“Niat saya satu saja, bila saya pakai beg berjenama begitu, saya nak rakan-rakan dan orang di Malaysia juga boleh pakai jenama yang sama. Saya banyak kongsi video demo tentang beg tangan, artikel fesyen yang bermanfaat kepada semua pengikut.

“Lama-kelamaan pengikut saya juga mula bertambah. Tahun demi tahun saya mendapat banyak tempahan melalui sistem pre order yang saya tawarkan,” cerita Rafidah pada majlis Sellection Dinner and Apprecition Night pada 7 Mac lalu di Shah Alam.

ANTARA beg tangan yang terdapat di butik Sellection.

Tambahnya, pengikut dan pelanggan terus bertambah dari masa ke semasa dan beliau mula mendapat kepercayaan daripada mereka yang mengikutinya di sosial media.

“Saya bina kepercayaan sedikit demi sedikt dengan memberikan perkhidmatan pelanggan terbaik dan nilai manfaat kepada para pembeli.

“Sebenarnya bukan mudah untuk orang luar percaya tentang bisnes begini apatah lagi atas talian. Namun saya berjaya menawan hati mereka hinggalah wujud butik pertama Sellection di Wangsa Melawati,” katanya penuh bangga.

Kata Rafidah, matlamat utama Sellection adalah untuk memberi peluang kepada rakyat Malaysia memiliki barang berjenama dan berkualiti dengan harga mampu milik.

Sebelum membuka butik dan sewaktu beroperasi dari Montreal, beliau selesa menggunakan jenama Branded Handbags & Kitchenware by Rafidah.

Tidak perlu risau dengan kualiti barang yang terdapat di butik Sellection kerana produk yang dipamer dan dijual adalah jenama mewah terkini dan asli.

“Sejak dulu sampai sekarang, saya tengok orang Malaysia cukup minat dengan jenama Coach, sebab itulah di Sellection, kami sediakan koleksi jenama Coach untuk wanita dan lelaki. Jenama ini menjadi kegemaran ramai daripada umur muda sehinggalah berusia.

“Kita ada juga jenama Michael Kors, Kate Spade selain daripada jenama Eropah seperti LV, Channel dan Burberry. Semua jenama saya beli terus dari outlet kerana ia lebih murah dan merupakan produk terkini,” jelasnya tentang Sellection yang kini dinaik taraf sebagai Online Premium Outlet yang pertama di Malaysia.

Kata Rafidah, sejak ada butik Sellection, pelanggan lebih suka walk-in untuk melihat dan menilai sendiri produk yang mahu dibeli.

Untuk itu pihaknya turut menawarkan kemudahaan kad ahli kepada pelanggan iaitu kad platinum, diamond dan gold.

“Setakat ini untuk keahlian kad platinum, kita ada kira-kira 300 orang. Mereka ini biasanya akan membeli lebih daripada tiga buah beg tangan dalam tempoh setahun.

“Kalau ikut pengikut kami ada 89,000 sekarang yang kita bina sejak 2015 dan di Instagram saja sudah 47,000 mengikut kami secara dekat. Member platinum dan diamond ini antara yang sentiasa mengikuti perkembangan kami, terutamanya kalau ada shopping trip,” jelas Rafidah yang mengenali pelanggannya secara dekat.

Dalam usaha untuk mempertingkatkan lagi bisnes Sellection, penyelia yang berpengalaman disediakan di butik untuk membantu pelanggan membuat pilihan.

Selain itu, Sellection juga bergiat membuat persiapan untuk koleksi raya yang bakal menjelma. Katanya, sekurang-kurangnya tiga kali setahun, beliau akan pergi ke luar negara untuk memilih produk.

“Tak perlu kerap ke luar negara kerana saya sudah ada tenaga kerja yang boleh mengurus semua urusan di sana. Saya bersyukur kerana usaha saya mahu berkongsi minat dengan orang lain akhirnya membuahkan kejayaan,” katanya tersenyum.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here