Ustaz pun datang belajar dengan Mark Adam

0
390
MARK Adam mahu berkongsi ilmu muziknya dengan orang lain.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

JANGAN bagi Mark Adam ‘buka mulut’, sepatah perkataan yang dituturnya mampu membuat kita ketawa tanpa henti. Beliau bukan pelawak tapi itulah kelebihan penyanyi yang berasal dari Cebu, Filipina itu kerana mampu menghibur orang ramai dengan ungkapan selambanya.

Dalam senda guraunya, kita tidak dapat menafikan Mark atau nama Islamnya, Fikri Mark Adam Abdullah, 41, seorang yang genius dalam bidang muzik. Beliau sering diundang untuk menjadi juri dalam program realiti hiburan.

Mark menggunakan kepakarannya dengan berkongsi ilmu muzik dan seni dengan orang ramai menerusi Suara Academy yang ditubuhkan sejak tahun 2017.

“Alhamdulillah, Suara Academy sudah tiga tahun beroperasi. Banyak sangat kenangan dan kami sentiasa memperbaiki kelemahan dari segi kelas dan kemudahan di Suara Academy.

ANTARA tenaga pengajar yang membantu Mark Adam mengajar para pelajar.

“Ini adalah impian saya untuk menubuhkan satu tempat di mana orang yang mahu belajar muzik boleh menimba ilmu. Sejak beroperasi, kami ada lebih daripada 300 pelajar.

“Suara Academy terbuka kepada siapa saja yang berminat untuk mempelajari vokal atau alat muzik. Kami ada pelajar sekecil tiga tahun hingga 75 tahun. Bayaran yang dikenakan cuma RM350 sebulan dan empat kali belajar iaitu seminggu sekali,” jelas Mark yang dibantu oleh empat guru muzik bertauliah dan seorang jurutera bunyi.

Tambah Mark, anak murid Suara Academy tidak terbatas kepada kelompok tertentu saja. Ada juga artis seperti Fattah Amin, Jannah Nick, Aiman Tino dan Nazim Othman yang datang belajar.

Malah turut mendaftar sebagai pelajar adalah seorang ustaz yang mahu tahu cara-cara untuk melontarkan suara dengan betul.

“Ustaz datang bukan untuk menyanyi, dia nak tahu macam mana nak projek vokal bagi mengalun azan. Sebagai pertukaran, ustaz ajar kami agama, setiap hari Khamis.

SUDAH tiga tahun Mark Adam mengurus Suara Academy.

“Di Suara Academy, kami seperti keluarga. Saya tak pernah meletakkan diri sebagai bos sebab di sini, tugas saya sama seperti cikgu-cikgu lain. Cikgu bukan sekadar mengajar, malah kami juga menimba pengalaman daripada pelajar,” katanya terus terang.

Malah kata Mark, ada di antara pelajarnya tidak mahu pulang selepas kelas kerana seronok berada di situ. Suasana seperti rumah hasil hiasan dalaman oleh isterinya, Norazah Redzuan atau Izan membuatkan Suara Academy tidak pernah sunyi.

Pelajar bukan sekadar belajar vokal dengan menyanyi, malah ada juga yang memilih untuk belajar bermain alat muzik seperti dram, ukulele, piano dan violin yang akan dibuka tidak lama lagi.

Jelas Mark, di Academy Suara, mereka bukan sekadar mengajar muzik, sebaliknya menjadikan muzik itu sebagai terapi kepada pelajar.

“Ada pelajar yang hadapi tekanan dan muzik dapat membantu mereka mengatasi masalah itu. Dengan pengalaman yang ada, saya sering berkongsi dengan cikgu-cikgu di sini cara untuk urus anak murid.

“Contohnya, kalau depresi, kita kena bagi mereka dengar lagu yang rancak tak boleh lagu slow. Kita bukan saja mengajar muzik, kadang-kadang kita berkongsi tentang pengalaman hidup,” katanya yang mempunyai lapan tahun pengalaman sebagai guru sebelum ini.

Tambah Mark, meskipun Suara Academy merupakan satu perniagaan untuknya, tapi di waktu yang sama ia adalah tanggungjawab.

“Bagi saya ini adalah satu tanggungjawab, saya mahu salurkan ilmu yang ada kepada sesiapa saja yang berminat. Walaupun ini adalah punca pendapatan saya tapi saya mudah kasihan pada orang.

“Ada seorang pelajar yang tak mampu bayar tapi nak menyanyi juga. Saya okey saja, sebab pelajar tu perlu guna duit untuk buat dialisis. Sebenarnya muzik ini boleh jadi terapi untuk orang sakit. Dengan menyertai Suara Academy, dia boleh gembira, saya terima dengan hati terbuka,” katanya.

Di Suara Academy juga ada studio yang lengkap untuk proses rakaman suara dan sering digunakan untuk buat rakaman komersial.

Kata Mark, beliau mahu melahirkan pelajar seba boleh dan berkeyakinan.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here