Tolak jawatan Exco demi jaga imej UMNO

0
4481

Oleh AMRAN MULUP

MELAKA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman menolak daripada disenaraikan dalam barisan Exco kerajaan negeri yang bakal diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali pada sidang akhbar di Seri Negeri kira-kira jam 11 pagi ini.

Hasan berkata, keputusan untuk tidak menerima jawatan Exco dibuat kerana beliau mahu menyelesaikan terlebih dahulu kes mahkamah apabila dituduh menyeleweng dana Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bernilai RM318,400 tahun lalu.

“Biar saya selesaikan dahulu kes yang melibatkan saya. Saya mahu bersihkan nama saya dan membuktikan diri saya tidak bersalah.

“Hati saya tidak tenteram selagi kes saya tidak diselesaikan kerana ini akan menjejaskan imej UMNO dan kerajaan negeri malah ia boleh menjejaskan persiapan parti menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti.

“Beri saya masa untuk selesaikan dahulu kes yang melibatkan diri saya. Apa pun saya ucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri atas kepercayaan untuk melantik saya menganggotai barisan Exco baharu,” ujar ketika dihubungi hari ini.

Hasan berkata, hasrat itu telah disuarakan ketika bertemu dengan Ketua Menteri semalam dan beliau turut mencadangkan nama Adun Merlimau, Datuk Roslan Ahmad menjadi penggantinya.

Nama Hasan yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin berada dalam senarai sembilan Exco baharu yang akan mengangkat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Dewan Seri Negeri kira-kira jam 2.50 petang ini.

Dalam sebutan kes tahun lalu, Adun Sungai Rambai itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Melaka atas 34 pertuduhan penyelewengan dana Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bernilai RM318,400 pada dua tahun lalu.

Hasan dan pembantunya Khuzaimah Abdullah, 34, masing-masing berdepan dengan 34 pertuduhan secara berasingan, mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here