MESYUARAT khas FAM, MFL dan pelbagai pihak berkepentingan mengenai Covid-19 berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor / Foto NSTP/OWEE AH CHUN.

Oleh KAKI BANGKU

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) dan badan pengurus pertandingan profesional anjurannya, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengarahkan semua perlawanan Liga Super dan Perdana yang dijadualkan hari ini hingga Ahad ini, dimainkan di stadium kosong tanpa penonton.

“Arahan seragam ini turut dikenakan kepada Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) yang bermula esok atas keprihatinan FAM dan MFL dengan penularan wabak coronavirus (Covid-19) yang melanda seluruh dunia.

“Keputusan ini sukar tetapi yang terbaik diambil demi kesihatan dan keselamatan para pemain, pegawai dan peminat bola sepak. Kami tidak boleh berkompromi memandangkan Covid-19 tiada vaksin dan makin cepat menular,” kata Presiden FAM dan MFL, Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Terdahulu FAM dan MFL mengadakan mesyuarat khas mengenai isu wabak itu yang turut dihadiri wakil-wakil Kementerian Kesihatan, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara dan para penaja di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.

Mulai Isnin ini pula kata Hamidin, kesemua perlawanan anjuran FAM dan MFL termasuk pusingan kedua Piala FA, Piala Presiden dan Belia (Bawah 21 dan 19 Tahun) serta MPFL selain Liga M3 dan M4 (amatur) ditangguhkan ke tarikh yang akan diberitahu semula.

“Kami tangguhkannya sehingga satu rasakan pada satu keadaan setelah mendapat nasihat Kementerian Kesihatan untuk memulakan balik pertandingan. Para penaja juga sudah maklum dan mereka menyokong penuh,” katanya.

Tegasnya, segala jadual perlawanan persahabatan antarabangsa tahap 1 yang melibatkan pasukan negara termasuk panggilan buat para pemain ke latihan pusat, minggu depan turut dibatalkan.

HAMIDIN Mohd. Amin (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan./fOTO: NSTP/OWEE AH CHUN.

FAM sebelum ini dikatakan mahu mengisinya pada tarikh pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Kumpulan G menentang Amiriah Arab Bersatu dan Vietnam, 26 dan 31 Mac ini yang telah ditunda oleh FIFA dan AFC.

Mengenai sebab Liga Super, Perdana dan MPFL yang masih diteruskan jadual perlawanannya secara tanpa penonton hari ini hingga Ahad ini, katanya: “Kami dapat maklum balas ada pasukan terlibat yang sudah buat penerbangan, pengangkutan dan tempahan penginapan.

“Cuma kita tetapkan prosedur operasi standard (SOP) di venue-venue berkenaan untuk mereka patuhi selain buka satu dua pintu masuk di situ sejajar dengan peraturan FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC),” katanya.

Kepada persatuan-persatuan negeri dan ahli gabungan FAM, Hamidin turut menggesa mereka menerapkan arahan (penangguhan) terhadap mana-mana pertandingan atau liga sosial di negeri masing-masing kerana soal kesihatan dan keselamatan umum memang tidak boleh dipandang ringan.

“FAM nasihatkan FA negeri ikutlah arahan ini sebab kami hendak pastikan Covid 19 tidak dipandang ringan. Tangguhlah (pertandingan) dan patuhilah nasihat kami sebagai badan induk kebangsaan,” katanya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here