KUALA LUMPUR — Pasangan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mempamerkan aksi cemerlang apabila mara ke suku akhir kejohanan badminton All England 2020 di Arena Birmingham, England pada Khamis.

Gandingan ranking ke-10 dunia itu bagaimanapun terpaksa mengharungi saingan sengit selama 48 minit sebelum berjaya menyingkirkan pasangan dari Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han 24-22, 21-17 pada  perlawanan pusingan kedua, menurut Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam laman webnya; www.bwfworldtour.bwfbadminton.com.

Tugas berat menanti naib juara tahun lepas pada suku akhir nanti apabila bakal berdepan pasangan nombor satu dunia dari Indonesia Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo yang menyingkirkan saingan mereka dari China Ou Xuan Yi-Zhang Nan 21-9, 21-15.

Nasib berbeza buat pasangan beregu profesional negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi apabila tewas kepada pasangan Taiwan Lee Yang-Wang Chi-Lin 19-21, 16-21 sekali gus tersingkir daripada saingan dalam kejohanan yang menawarkan US1.1 juta (RM4.677 juta).

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia mengekalkan rentak cemerlang apabil turut mara ke suku akhir selepas mengenepikan pemain China Lu Guang Zu 21-10, 21-16.

Zii Jia yang menduduki ranking ke-13 dunia itu akan berdepan pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2016 Chen Long dari China yang sebelum itu menewaskan bekas juara dunia yang juga rakan senegara, Lin Dan 21-17, 21-8.

Keputusan pusingan kedua:
(Nota: Pemain Malaysia kecuali dinyatakan dan  [  ] menunjukkan kedudukan)

Perseorangan Lelaki:
Lee Zii Jia kalahkan Lu Guang Zu (CHN) 21-10, 21-16

Beregu Lelaki:  
[8] Aaron Chia-Soh Wooi Yik kalahkan Lu Ching Yao-Yang Po Han (TPE)  24-22, 21-17
[7] Lee Yang-Wang Chi-Lin (TPE) kalahkan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi  21-19, 21-16

Beregu Wanita:
Chang Ye Na-Kim Hye Rin (KOR) kalahkan Vivian Hoo Kah Mun-Yap Cheng Wen  21-23, 21-17, 21-14
[6] Du Yue-Li Yin Hui (CHN) kalahkan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean 21-10, 21-16

Beregu Campuran:
[5] Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti (INA) kalahkan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing 21-19, 18-21, 21-10

— BERNAMA

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here