TAWAU — Hampir 200 orang dari Tawau dan 132 orang dari Kelantan yang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur dari 27 Feb hingga 2 Mac lalu, hadir ke beberapa fasiliti kesihatan sehingga hari ini bagi menjalani ujian saringan Covid-19.

Ketika dihubungi Bernama, Pegawai Kesihatan Tawau Dr G Navindran memohon agar peserta perhimpunan itu yang belum membuat ujian saringan supaya tampil di klinik kesihatan atau Hospital Tawau untuk berbuat demikian.

“Yang belum mendapatkan saringan, jangan takut, datanglah (untuk membuat ujian saringan) demi kesihatan diri dan keluarga masing-masing,” katanya.

Navindran memberitahu seramai 350 orang yang menyertai perhimpunan itu adalah dari Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna.

Seorang anggota tabligh yang sempat ditemui, Sabas Muhammad Ali menasihatkan agar anggota tabligh yang tidak menyertai perhimpunan itu untuk turut mendapatkan pemeriksaan kesihatan.

Sementara itu, Pengarah Hospital Kunak Dr Asbullah Sudin berkata semua 17 anggota tabligh dari Kunak yang menyertai perhimpunan itu tampil membuat ujian saringan kesihatan di Hospital Kunak dan dikuarantin di rumah masing-masing.

Di Kota Bharu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Dr Zaini Hussin berkata hasil daripada 132 orang yang menjalani saringan itu 42 daripadanya mempunyai gejala Covid-19 manakala bakinya tidak mempunyai sebarang gejala berkenaan.

“Daripada jumlah 132 jemaah, seramai 70 orang dikuarantin di Pusat Latihan Tumpat dan 59 orang di rumah manakala hanya 3 kes yang memenuhi kriteria kemasukan ditempatkan dalam wad.

“Kes yang bergejala ringan dan tidak bergejala dibenarkan menjalani pemerhatian di rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zaini meminta kerjasama daripada kumpulan tabligh dari Kelantan yang hadir ke perhimpunan di Masjid Sri Petaling itu supaya hadir membuat saringan di fasiliti berdekatan.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/03/13/lebih-300-peserta-tabligh-dari-sabah-kelantan-jalani-ujian-covid-19/
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here