Fattah Amin bebas dari cinta

0
660
FATTAH Amin harap single Bebas dapat membantu mereka yang menghadapi tekanan perasaan.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

RAMAI yang memberi komen negatif daripada positif apabila Fattah Amin, 30, tampil dengan single Wanita Terakhir pada 2015.

Namun beliau bukan jenis yang cepat melatah dengan kritikan, sebaliknya terus berkarya hingga sekarang.

Terkini Fattah baru saja tampil dengan single, Bebas yang dilancarkan di semua platform digital pada 13 Mac, baru-baru ini.

Sebelum ini Fattah pernah tampil dengan single Wanita Terindah, 1234U dan Istimewa.
Meskipun lagu-lagu dendangan Fattah tidak menjadi siulan ramai, namun itu bukan alasan untuk beliau berhenti daripada merakam lagu.

Untuk single ini, Fattah atau Abdul Fattah Mohd. Amin, cuba lari daripada kebiasaan yang menjurus kepada percintaan pasangan kekasih semata-mata.

Kali ini lagu ciptaan Rudy Nastia dan lirik oleh Leo Azman itu lebih berkisar tentang isu sejagat iaitu perihal mental.

“Judul lagu, secara jelas juga membawa kita kepada erti sebuah kebebasan dan tidak mahu terus terbelenggu dengan hal yang negatif.

“Saya melihat cara penyampaian lagu ini ditujukan kepada sesiapa saja termasuk peminat yang berdepan masalah sosial termasuk kemurungan.

FATTAH Amin mendapat inspirasi daripada aura positif isteri, Fazura dalam mendendangkan lagu Bebas.

“Lagu ini cuba menyalurkan semangat baharu dan menyuntik motivasi sekali gus mahu membebaskan diri daripada bebanan dan tekanan masalah dialami,” hurai Fattah tentang maksud lagu Bebas itu.

Tambahnya, setiap orang harus yakin dan percaya bahawa semua permasalahan pasti ada jalan keluar. Insan terdekat yang boleh membantu kita untuk selesaikan masalah terbabit adalah keluarga dan kawan-kawan.

Untuk lagu ini juga, Fattah berterima kasih kepada isterinya, Fazura kerana sering menyalurkan aura positif dalam kehidupannya.

“Isteri saya sudah lama menyebarkan aura positif dalam hidup termasuk di media sosial. Apabila saya menjadi suaminya, inspirasi itu jadi bertambah dekat dalam diri. Kalau perasan sebelum ini pun dia ada menyebarkan elemen positif menerusi lagu Sayangi Dirimu,” jelasnya.

Untuk lagu berkonsep pop ini juga, buat pertama kalinya Fattah membabitkan diri dalam proses pembikinan lagu daripada awal hingga akhir.

“Saya teruja dan terharu kerana turut terbabit dalam proses pemilihan melodi serta bunyi untuk lagu. Saya dan komposer Helen Yap, sama-sama berbincang memilih bunyi muzik yang baik.

“Malah untuk muzik video arahan Thaqif Saadon, idea saya turut diguna pakai. Awalnya, produksi ada idea dan jalan cerita tersendiri, namun akhirnya jalan cerita saya yang menjadi tunjang penceritaan,” katanya bangga.

Fattah percaya sudah masanya untuk beliau mengorak langkah ke hadapan dalam kerjaya nyanyian yang sebelum ini sering tampil dengan lagu romantik dan cinta saja.

Dalam pada itu, Fattah berkata, lagu Bebas ini adalah hadiah untuk peminat yang terus setia berada di belakangnya.

“Sampai bila saya nak menyanyi lagu berkonsep cinta saja. Saya mahu beralih arah ke sesuatu yang boleh memberi manfaat bersama sambil berhibur. Saya lihat ini juga langkah untuk saya tidak statik dengan apa yang ada sekali gus dapat melonjakkan kerjaya seni.

“Peminat saya ada dalam pelbagai peringkat umur yang pastinya terpalit dengan masalah semasa. Lagu Bebas ini saya tujukan untuk masyarakat terutama dalam memberi nasihat dan panduan menaikkan semangat yang hilang, “ujarnya.

Sementara itu, Fattah kini sibuk menjalani penggambaran drama Pink Smile adaptasi novel karya Luna Adresia. Drama 20 episod yang bakal disiarkan untuk slot Lestary TV3, menampilkan gandingan Fattah dan Sweet Qistina.

“Drama Pink Smile akan disiarkan dalam bulan Ramadan ini. Pada masa sama, saya juga menanti tiga buah filem lakonan saya untuk ditayangkan iaitu Mimaland, Mat Kilau dan Deleted,” jelas Fattah.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here