UMNO Tangga Batu dijangka rampas semula kerusi Parlimen, dua DUN

1
20441
DATUK Seri Mohamad Ali Mohamad (tiga dari kiri) diraikan sempena sambutan hari lahir beliau ke-56 di MITC, Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

Oleh AMRAN MULUP

MELAKA — Tiga kerusi iaitu dua Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen Tangga Batu dijangka diambil balik daripada tangan Pakatan Harapan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, jentera pilihan raya bahagian itu telah membuat persiapan rapi sejak tahun lalu hingga sekarang.

“Berdasarkan sokongan rakyat di kawasan Tangga Batu melihat mereka mahu Barisan Nasional (BN) dan UMNO memenangi kembali kerusi Parlimen Tangga Batu, DUN Paya Rumput dan DUN Klebang.

“Di samping itu saya melihat jentera pilihan raya telah menjalankan tanggungjawab di semua DUN termasuk DUN Pantai Kundur dan Sungai Udang yang dimenangi calon BN pada PRU14 yang lalu,” ujar beliau.

Mohamad Ali berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan hari lahir beliau yang ke-56 di Ayer Keroh di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri berkata, UMNO Tangga Batu akan memohon kepada pucuk pimpinan parti agar kerusi DUN Klebang diserahkan kembali kepada UMNO.

“Saya melihat pengundi Melayu di DUN Klebang adalah seramai 65 peratus dan sewajarnya calon UMNO bertanding di sini,” ujarnya.

Kerusi DUN Klebang sebelum ini ditandingi calon dari MCA. Namun pada PRU14 Datuk Lim Ban Hong tewas kepada calon PKR.

Dalam pada itu Mohamad Ali berkata, UMNO Bahagian Tangga Batu telah mengenal pasti calon-calon yang akan bertanding di empat kerusi DUN dan Parlimen.

“Saya melihat senario politik sekarang nampak tidak stabil dan saya tidak menolak kemungkinan PRU15 dijangka akan diadakan awal berbanding dalam tempoh tiga tahun yang sepatutnya,” ujarnya.

-BebasNews

Please follow and like us:

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here