Mora mengeluh, Muhaimin kekang JDT

0
531

Oleh KAKI BANGKU

BENJAMIN Mora mengeluh, Johor Darul Ta’zim (JDT) menanggung padah kerana gagal menambah gol sehingga akur diikat 1-1 oleh Felda United dalam pertembungan Liga Super 2020, semalam.

Namun ketua jurulatih Harimau Selatan itu tidak pula menyebut bagaimana cemerlangnya Mohd. Muhaimin Mohamad mengekang gawang pelawat termasuk sepakan penalti Gonzalo Cabrera pada minit ke-66.

Penjaga gol Felda United itu berhak ditabalkan ‘Bintang Perlawanan Ini’ apabila menangkis penalti itu dan aneka percubaan tuan rumah untuk membantu ‘Si Pejuang’ pulang ceria dengan satu mata.

Dia hanya tewas dengan jaringan Syafiq Ahmad pada minit ke-21 sebelum Federic Bulot memastikan kesudahan seri di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor Bahru dengan jaringan penyamaan, setengah jam kemudian.

“Secara kebetulan dialah penjaga gol PJ City FC ketika JDT kalah sekali musim lalu. Kami juga buat kajian dalam menemui cara untuk menangani sepakan sudut dan penalti JDT.

“Sikap dan persediaannya bagi perlawanan ini sangat bagus, begitu juga dengan bacaannya dalam penalti itu dan saya harap dia kekalkan prestasi begini,” kata ketua jurulatih Felda United, Nidzam Jamil.

Si Pejuang jelasnya, enggan membiarkan pesta kejayaan membuai mereka walaupun mengakui, setiap lawan yang berdepan pasukan sehebat Harimau Selatan, berhak bergembira dapat keluar dengan sebarang mata apatah lagi dari Johor Bahru.

“Bukan malam yang baik buat JDT sebab kami tidak suka seri dan kalah. Sudah pasti kemungkinan lain muncul apabila kami tidak bermain seperti apa yang sepatutnya dalam semua cara.

“Dalam bola sepak, jika tidak menjaringkan gol dan sebarang kesilapannya, anda menanggung padahnya walaupun kami jalankann tugas dengan baik secara sepasukan,” kata Mora yang membawa JDT membolot trebel Liga M (Piala Sumbangsih, Liga Super dan Piala Malaysia) musim lalu.

Warga Mexico ini walau bagaimanapun enggan menjadikannya sebab atau alasan gagal memastikan tiga mata dari kandang sendiri Harimau Selatan.

“Kami hanya perlu gandakan usaha untuk jadi lebih ampuh dalam penyudahan dan membuat keputusan selain kena ubah pendekatan perlawanan,” katanya.

JDT semalam turut turun tanpa kapten import dari Singapura, Harris Harun yang masih dibelenggu kecederaan lutut selain seorang lagi pemain import, Leandro Velasquez malah Pemain Paling Bernilai Liga M 2019, Safawi Rasid.

“Safawi bakal beransur pulih (daripada kecederaan), begitu juga Leandro namun Harris perlu jalani ujian lagi merawat lututnya,” katanya yang turut menguji perantara muda, Arif Aiman Hanapi dalam 12 minit terakhir.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here