
JOHOR BAHRU — Pengerang Refining and Petrochemical (PRefChem) hari ini mengesahkan tujuh mangsa tragedi kebakaran di Kompleks Bersepadu Pengerang semalam, termasuk lima yang terkorban adalah kakitangannya.
Dalam satu kenyataan petang ini, syarikat itu berkata insiden kebakaran dan letupan di Unit Diesel Hydro Treating (DHT) di kompleks berkenaan berlaku pada 10.39 malam.
Menurut syarikat itu, buat masa ini, kawasan terbabit kebakaran telah ditutup dan Pasukan Tindakan Kecemasan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa.
“Dukacita dimaklumkan bahawa lima kakitangan telah meninggal dunia akibat insiden tersebut. Seorang kakitangan mengalami kecederaan melecur tahap kedua sebanyak empat puluh peratus, manakala, salah seorang terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.
“Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan dan kami akan sentiasa memastikan situasi berada dalam keadaan terkawal dan tidak mendatangkan sebarang risiko terhadap aspek kesihatan dan alam sekitar,” kata PRefChem.
Syarikat itu memberi jaminan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung dengan siasatan terperinci yang sedang dijalankan.
“PRefChem amat berdukacita di atas kejadian ini dan ingin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga kakitangan terbabit,” katanya.
PRefChem merupakan pakatan strategik dua syarikat minyak terbesar di dunia iaitu Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dan Saudi Aramco, syarikat minyak Arab Saudi.
FIRE INCIDENT AT PENGERANG INTEGRATED COMPLEX 15 MARCH 2020 ENGLISH COPY.pdf.pdf— BERNAMA