Istaf tangguh semua kejohanan sepak takraw hingga Ogos

0
293
ABDUL Halim Kader.

Oleh KAKI BANGKU

PERSEKUTUAN Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) membuat keputusan untuk menangguhkan kesemua kejohanan antarabangsa dalam kalendar pertandingannya termasuk yang mendapat kebenarannya, serta-merta sehingga Ogos ini.

Setiausaha Agung Istaf, Abdul Halim Kader berkata, langkah berjaga-jaga ini diambil sebagai membendung penularan penyakit membawa maut, Coronavirus (Covid-19) yang sudah diisytiharkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Penangguhan ini membuktikan komitmen kami dalam mengutamakan keselamatan dan keselamatan para pemain sepak takraw mahupun pegawai-pegawai dan kakitangan serta masyarakat di seluruh dunia.

“Sebagai badan induk pentadbir sukan sepak takraw, Istaf telah memantau rapat perkembangan dan penularan wabak ini sejak dilaporkan pada Disember tahun lalu sehingga pengisytiharan WHO itu,” katanya kepada BebasNews hari ini.

SEPAK takraw seperti sukan-sukan lain di seluruh dunia, ditangguhkan beberapa bulan gara-gara Covid-19.

Beliau yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) turut berharap semua negara ahli gabungannya memahami dan bekerjasama serta menyokong kuat keputusan Istaf dalam dalam memerangi wabak maut Covid-19.

“Banyak negara sudah mengenakan beberapa larangan perjalanan bagi meningkatkan kawalan terhadap penularannya jadi ayuhlah kita keluarga Istaf, turut tampil memerangi wabak maut ini sebagai sebuah pasukan sukan yang besar,” katanya.

Antara kejohanan terdekat dalam penundaan itu ialah Kejohanan Asia di Dhaka, Bangladesh (19 hingga 23 Mac), Sukan Pantai Karachi di Karachi, Pakistan (9-13 April) dan Kejohanan Belia Bawah 21 Tahun Asia di Taipei, Taiwan (6-13 April), Kejohanan Asia di De Hong, Yunan, China (26 Mei hingga 2 Jun) dan Piala Jemputan China di Jinhua, Zheijang (3 hingga 6 Jun).

Dua kejohanan yang menjadi antara tumpuan utama para anggota kerabat Istaf termasuk Malaysia ialah Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand Ke-35 di Bangkok dari 2 hingga 10 Oktober dan Piala Dunia Istaf Ketiga di Goa, India dari 24 hingga 28 November.

China yang kotanya Wuhan dikesan sebagai tapak awal penularan Covid-19, didapati serius dan pesat menganjurkan tiga kejohanan antarabangsa termasuk Kejohanan Pantai Asia Kedua di Qingdao pada 9 hingga 14 Julai ini.

ABDUL Halim Kader (kiri) menerima bekalan topeng hidung dan muka ketika mengunjungi Taipei, baru-baru ini bagi persediaan Kejohanan Belia B21 Asia, bulan depan yang kini ditangguhkan.

Mereka dikatakan membuat persediaan awal untuk bangkit sebagai kuasa baharu sepak takraw dunia atau yang kedua dari Asia Timur selepas Korea Selatan, apabila menjadi tuan rumah Sukan Asia Hangzhou 2022.

PIALA Dunia Istaf di Goa, India dibatalkan tahun lalu dan apakah nasibnya berulang November ini.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here