Covid-19: PDRM tarik balik permit perintah kawalan pergerakan rentas negeri – KPN

0
883
ORANG ramai termasuk pelajar Intitusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) beratur bagi mengisi Borang Kebenaran Rentas Negeri di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, semalam. Bagaimana pun Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menarik semula arahan itu. Beliau berkata, orang ramai tidak perlu mengisi borang buat sementara waktu.--fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR  — Polis Diraja Malaysia (PDRM) menarik balik arahan mendapatkan permit pergerakan rentas negeri berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung wabak COVID-19, yang bermula tengah malam ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata langkah berkenaan diambil kerana ia mendatangkan kegusaran orang ramai.

“Memandangkan orang ramai berpendapat bahawa mereka boleh melakukan pergerakan jika mereka mendapat kelulusan daripada polis maka berlakulah kesesakan yang serius di balai-balai polis serta perhentian bas.

“Sedangkan hanya mereka yang layak diberi pengecualian seperti mana yang boleh dipertimbangkan untuk diberi kebenaran melakukan pergerakan rentas negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, mereka yang layak melakukan pergerakan rentas negeri adalah termasuk kematian ahli keluarga terdekat, sakit tenat ahli keluarga, rawatan perubatan diri sendiri dan ahli keluarga serta lain-lain perkara atas budi bicara pihak Ketua Polis Balai.

Sehubungan itu, Abdul Hamid berkata perintah mendapatkan permit rentas negeri ini ditangguhkan buat sementara waktu bagi menyelesaikan kesesakan dan kesulitan yang dihadapi oleh semua pihak terbabit.

Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan kerajaan sebelum ini berkuat kuasa mulai 18 Mac hingga 31 Mac bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19.

— BERNAMA

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here