Cara tangani krisis, penularan wabak Covid-19 sangat penting

0
767
FOTO: Crisis Shield, Australia.

Oleh SUHAIMEE SAAHAR

SETIAP negara mempunyai kaedah dan langkah-langkah tertentu untuk menghadapi dan berdepan dengan krisis dan juga isu-isu yang melibatkan kebajikan rakyat.

Dalam hal ini kita merujuk kepada wabak Covid 19 yang telah diisyitiharkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai pandemik global yang telah meragut lebih 6000 nyawa dan menyebabkan tekanan ekonomi ke atas negara-negara seperti China, Itali, Iran dan kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat yang mengumumkan darurat di seluruh negara.

Walaupun sebelum itu Presiden Donald Trump dilihat begitu lembap untuk mengambil tindakan, akhirnya beliau akur dengan serangan wabak ini ke atas negaranya.

Keadaan ekonomi yang terjejas kerana wabak ini dilihat sedikit sebanyak mempengaruhi produktiviti sesebuah negara.

Ini kerana banyak sumber akan digunakan bagi memastikan wabak ini tidak menular dengan pantas.

Penularan wabak ini menyaksikan penutupan beberapa bandar utama dan juga sektor perindustrian yang mana akan memberikan kesan ke atas pertumbuhan ekonomi sesebuah negara yang berdepan dengan wabak ini.

Pergerakan menjadi terhad dan beberapa bentuk kawalan dikenakan bagi memastikan penularan wabak ini boleh dikawal dengan baik.

Sekatan perjalanan dan pergerakan dikenakan bukan sahaja sebagai langkah awal tetapi ia menjadi salah satu bentuk kawalan yang akan memastikan penularan wabak ini dapat diatasi dengan kerjasama semua pihak.

Dalam waktu yang genting seperti ini, maklumat memainkan peranan penting bagi mengelakkan kebimbangan dan keresahan dikalangan rakyat.

Tanggapan dan persepsi yang negatif tidak akan membantu kita semua malah ia akan merencatkan produktivi kita sebagai sebahagian daripada ahli masyarakat.

Minda yang produktif perlu mempunyai keseimbangan dalam menilai dan mengukur maklum balas daripada persekitarannya.

Ini akan membantu perancangan yang dibuat oleh syarikat, agensi, kementerian ataupun kerajaan dalam memastikan perkara yang tidak diingini berlaku disebabkan tingkahlaku penyalahgunaan maklumat yang mampu memberi kesan kepada produktiviti dan aktiviti-aktiviti yang telah dirancang sebelum ini.

Kecenderungan kepada tingkahlaku penyalahgunaan maklumat dan media sosial hari ini bukan sahaja memburukkan keadaan tetapi ia telah mencetuskan panik dan hoax sehinggakan berlakunya pembelian panik dikalangan masyarakat.

Sepertimana yang dijelaskan, kemampuan kita dalam menguruskan maklumat yang tepat dan bermaklumat bukan sahaja mampu mempengaruhi tingkah laku kita tetapi sedikit sebanyak akan memberi kesan sama ada positif mahupun negative terhadap budaya produktiviti kita.

Kita sememangnya menyedari bahawa apa sahaja bentuk krisis atau wabak akan memberikan kesan kepada aktiviti yang telah kita rancang.

Usaha-usaha yang diambil sebelum ini telah memakan masa dan tenaga bagi menghasilkan satu plan tindakan dalam pelbagai bentuk sama ada dalam bentuk dasar atau program.

Dalam berdepan dengan wabak ini kemungkinan graf produktiviti akan menurun sedikit kerana ia memerlukan kita untuk menyelaraskan semula segala bentuk plan tindakan dalam berdepan dengan krisis ini.

Kemampuan organisasi bertindak secara proaktif mampu mengurangkan penurunan produktiviti ini dalam polisi jangka masa pendek atau jangka masa panjang.

Kita tidak boleh nafikan wabak Covid 19 ini menjejaskan beberapa sektor industri seperti industri pelancongan dan juga sektor penerbangan. Ini memberi ruang untuk pihak pengurusan untuk mengukur semula prestasi syarikat sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingin dan mewujudkan plan kecemasan yang sesuai dengan saiz dan operasi syarikat.

Beberapa arahan yang dibuat dalam beberapa hari ini mengambil kira faktor-faktor penting sama ada yang melibatkan keselamatan, kecekapan, guna tenaga, kesihatan, ekonomi dan sektor seperti yang memerlukan senergi bersama dalam mengimbangi penularan wabak ini ke atas masyarakat.

Kebertanggungjawaban semua pihak perlu diambil kira dan dimasukkan sebagai salah satu plan kecemasan tanpa mengabaikan tingkat produktiviti yang telah dirancang sebelum ini.

Pendekatan yang akan diambil dan dilaksanakan telah mengambil kira semua aspek dengan memfokuskan semula hala tuju dan sumber yang ada bukan sahaja untuk meminimakan impak tetapi merupakan satu peluang untuk tujuan penambahbaikan dalam sistem dan pengeluaran.

Dalam hal ini juga kita perlu mengambil kira peranan teknologi digital yang semakin canggih dan pantas. Mungkin ruang masa yang diberikan oleh kerajaan selama 14 hari ini akan membuka dimensi baru dalam meningkatkan produktiviti secara atas talian.

Teknologi digital hari ini mampu mengubah persekitaran pekerjaan hari ini walaupun bukan semua sektor sesuai tetapi ia memberikan satu nilai baru dalam dimensi pekerjaan tersebut.

Ada sektor yang telah mengaktifkan sepenuhnya kemampuan teknologi digital dalam beberapa bentuk seperti sektor pendidikan tinggi apabila pembelajaran secara atas talian diaktifkan bagi menggantikan kuliah dalam kelas.

Ternyata ia efektif dan produktif dalam mewujudkan pengurusan masa yang cekap dalam berdepan dengan krisis-krisis tertentu.

Cabaran utama adalah dalam bentuk pemantauan dan kawalan agar kaedah yang diperkenalkan tidak dipandang ringan.

Cabaran kedua adalah tahap efikasi dan kecekapan yang wujud dalam membina motivasi kendiri dalam menjadi lebih produktif dan berdaya saing.

Apapun bentuk krisis dan isu yang berlaku perancangan awal dan kaedah-kaedah perlaksanaan yang efisen dan cekap pasti akan membantu bagaimana organisasi berdepan dengan krisis tersebut.

Dalam pengurusan krisis yang cekap salah satu elemen yang perlu kita ambil kira adalah pengurusan maklumat dan komunikasi.

Oleh itu sebagai rakyat Malaysia yang telah berdepan dengan pelbagai isu dan krisis, kita seharusnya telah menjadi cekap dan berpengalaman dalam menguruskan sebarang isu yang kita hadapi.

Kerjasama setiap pihak dalam menyumbangkan kepakaran, idea, tenaga, sumber dan doa memainkan peranan penting bagi mewujudkan sebuah masyakat yang matang dan berkemampuan.

Lihat seperti yang berlaku di China dan Jepun, walaupun mereka berdepan dengan wabak ini, faktor pengurusan krisis yang cekap membantu bukan sahaja mengurangkan penularan wabak ini tetapi mewujudkan minda yang progresif dan produktif ketika krisis.

Penulis adalah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM, Shah Alam

– BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here