Perlunya siapsiaga hadapi musibah

0
991
ANGGOTA Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor menjalankan rondaan aktiviti lintas sempadan negara jiran menerusi Sungai Golok. STR/NIK ABDULLAH NIK OMAR.

Oleh ARRAZAQ NAZRI

KITA tidak menafikan ‘berat mata memandang berat lagi bahu memikul’ di peringkat kerajaan dalam menguatkuasakan kawalan pergerakan dalam menangani wabak Covid-19 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Tiada siapa dapat menidakkan tentang keperluan pelaksanaan kawalan itu tetapi kejayaannya bergantung kepada sejauh mana kerjasama semua pihak tanpa mengira siapa mereka.

Setiap arahan yang datang daripada pihak atasan, iaitu Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu jelas dan difahami hingga ke peringkat bawahan supaya segala-galanya bergerak seperti mana yang diharapkan.

Pada masa yang sama, perancangan luar jangkaan perlu ada dan laksanakan secara pantas dalam memastikan segala-galanya berada pada landasan betul sekiranya ia tersasar sedikit.

Kesalahan tidak boleh diletakkan kepada rakyat semata-mata sekiranya kerajaan gagal memastikan segala komunikasi dan maklumat yang sepatutnya telah disebar luaskan dengan sebaik-baiknya difahami semua.

Penguatkuasaan juga seharusnya dilakukan menyeluruh oleh pihak berkuasa dan setiap tindakan perlu tampak serius di mata orang ramai termasuk perlunya ada pemantauan terhadap pematuhan. Pematuhan orang ramai tidak boleh secara sukarela semata-mata.

Sekiranya segala-galanya dilaksanakan dengan betul dan menyeluruh, semua pihak patut sudah tahu apa yang perlu dilakukan baik sama ada di peringkat semua agensi kerajaan yang berkaitan dan juga rakyat Malaysia sendiri.

Sehingga kini, dua telah pun diumumkan meninggal dunia kerana Covid-19, masing-masing di Johor dan Sarawak.

Peningkatan angka korban yang seterusnya akan menyebabkan meningkatnya keresahan dalam kalangan orang ramai.

Tidak seharusnya terdapat sebarang usaha untuk menyembunyi keadaan sebenar, kerana ia hanya memburukkan keadaan dan kerajaan akan hilang kepercayaan.

Sebenarnya kemungkinan berlaku keadaan lebih buruk tidak dapat ditolak berikutan sikap segelintir pihak yang tidak acuh dalam mematuhi kewalan yang ditetapkan dengan bergerak melangkaui sempadan daerah.

Ini juga diburukkan oleh kegagalan pihak pengurusan Institut Pengajian Tinggi dan Swasta mengekang dan mengurus perjalanan balik pelajar-pelajar mereka.

Sudah tiba masanya rakyat Malaysia yang sekian lama cukup selesa dengan kehidupan semasa mereka dilatih untuk sentiasa dalam keadaan bersiapsiaga apabila negara berada dalam situasi kecemasan tanpa mengira apa bentuknya.

Di peringkat bencana alam semula jadi, kerajaan sebelum ini mencatatkan kejayaan dalam mengadakan prosedur standard dalam menangani bencana banjir. Tahap kesiagaan dan juga pemulihan bencana yang ditunjukkan cukup membanggakan.

Bagi tempoh jangka panjang, mungkin pendedahan tidak formal boleh dilakukan di peringkat tadika atau sekolah tentang tindakan yang harus diambil jika berlaku banjir, tanah runtuh, letupan kimia, wabak penyakit dan aktiviti keganasan.

Kata orang, malang datang tanpa diundang tetapi berbekalkan persiapan dan perancangan yang jitu, ia mampu mengurangkan angka korban. Lagipun, apa gunanya kalau sudah terantuk baru tengadah.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here