Covid-19: Berani mati atau pentingkan diri sendiri

0
636
FOTO: NSTP/OSMAN ADNAN

Oleh AHMAD ABD HAMID

PERINTAH kawalan pergerakan bertujuan mengekang penularan wabak COVID-19 berkuatkuasa mulai 18 hingga 31 Mac ini.

Perintah ini yang juga dikenali sebagai ‘lockdown’ secara mudah bererti orang ramai hendaklah membataskan pergerakan atau percampuran, tambahan lagi dalam kelompok atau jemaah yang ramai.

Dalam tempoh ini mereka lebih dikehendaki ‘mengunci’ diri di rumah. Pergerakan hanya jika perlu, seperti mendapatkan bekalan makanan atau khidmat kesihatan dan perubatan.
Sejajar dengan arahan ini, kesemua pejabat kerajaan atau swasta, termasuk sekolah dan institusi pengajian tinggi ditutup dua minggu. Hanya jabatan yang menyediakan khidmat perlu sahaja dibuka.

Dengan langkah ini diharap percampuran, bersentuhan dan interaksi di kalangan orang ramai akan turun ke tahap seminimum mungkin. Seterusnya ia diharap dapat mengekang penularan virus COVID-19 yang makin membimbangkan.

Namun sayang, ramai ahli masyarakat kita telah tersalah takrif, atau sengaja menyalah takrif maksud kawalan pergerakan dan ‘cuti paksa’ yang diberi oleh kerajaan.

Sementara cuti yang diberi untuk mereka mengasingkan diri di rumah dan mengawal pergerakan, mereka menjadikan cuti ini sebagai cuti yang sebenar-benar cuti untuk bergembira, berjalan makan angin atau balik kampung.

Pastinya ini bertentangan dengan hasrat kerajaan. Perbuatan ini sama sekali tidak membantu usaha kerajaan mengekang penyebaran virus demi kebaikan negara dan orang ramai sendiri.

Kerajaan bukan menyuruh orang ramai menggunakan cuti ini membawa keluarga bersiar-siar, melancong atau balik kampung. Perbuatan ini hanya menggagalkan matlamat kenapa cuti itu diberi.

Apa yang dilakukan oleh kerajaan ialah untuk membantu orang ramai menghindari COVID-19. Tetapi orang ramai sendiri memandang remeh langkah kerajaan ini seolah-olah tidak memperdulikan seriusnya bahaya COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah yang jelas kecewa dengan apa yang berlaku merayu, “bantulah kami untuk membantu anda.”

Beliau kesal dengan sikap orang ramai yang jelas tidak bertanggung jawab mengingkari peraturan yang ditetapkan, seolah-olah menganggap ia sebagai satu gurauan semata-mata.

Tidak bolehkah rakyat negara ini menjadi matang dalam waktu sukar begini dan akur sepenuhnya dengan arahan kerajaan?

Berapa kalikah perlu diulang-ulang ingatan bahawa berada dalam kumpulan ramai akan menyebabkan COVID-19 lebih mudah tersebar?

Tidak bolehkah pada waktu ini orang ramai bersabar tidak pergi bersiar-siar atau makan angin? Tidak bolehkah jika tidak berduyun-duyun balik kampung pada saat getir ini?
Gejala seperti inilah juga yang berlaku di Itali apabila kerajaan negara itu menguatkuasakan ‘lockdown’.

Rakyat mengambil kesempatan untuk berjalan ke merata tempat dan terus bergaul dalam kelompok besar. Akibatnya usaha mengekang COVID-19 bertukar menjadi ‘penyebaran’.
Ekoran itu Itali kini mengenakan peraturan ketat. Sesiapa yang disyaki dijangkiti COVID-19 tetapi enggan memaklumkan kepada kerajaan dan enggan dikuarantin, berdepan dengan tuduhan membunuh.

Ini kerana mereka yang dijangkiti berpotensi menularkan penyakit itu kepada orang lain serta boleh menyebabkan kematian. Hukuman penjara hingga 21 tahun menanti mereka yang bersalah.

Dengan mengambil kira kedegilan orang ramai di negara ini mematuhi peraturan kawalan pergerakan, langkah seperti yang diambil oleh kerajaan Itali boleh dilaksanakan.

Namun sebaik-baiknya ialah orang ramai sendiri memberi kerjasama mematuhi peraturan. Ini bukan sahaja memudahkan kerja kerajaan tetapi mendatangkan kebaikan pada mereka sendiri.

Jadilah masyarakat yang prihatin dan sentiasa menyokong usaha baik kerajaan. Janganlah hanya hendak patuh jika ada hukuman menanti. Patuhilah ‘lockdown’. Janganlah jadi ‘lok lak’!

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here