Sukarkah mematuhi percutian musim Covid-19 di rumah?

0
299
PETUGAS CPRC sibuk mengemaskini situasi semasa COVID-19 di Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) Kebangsaan Kementerian Kesihatan (KKM) di Putrajaya hari ini. --fotoBERNAMA

SELAMAT bertugas kepada barisan hadapan negara walaupun kebanyakan orang  mula bercuti. Pastinya mereka ini terutama dalam kumpulan perkhidmatan kesihatan yang bertugas di hospital dan klinik terus bertungkus lumus menghadapi wabak Covid-19. Biar apa pun jawatan mereka di sana, kita harus menghargai dan simpati. Ketika orang diberi cuti 14 hari sehingga 31 Mac, mereka perlu bekerja.

Sama-sama kita mendoakan kesihatan dan kekuatan fizikal dan mental golongan ini ketika mereka sedang bergelut mengesan dan memulih kesihatan orang yang sudah terjejas atau kemungkinan dijangkiti wabak Covid-19. Pengorbanan mereka ini harus dibalas walaupun bukan dengan wang ringgit. Wang boleh dicari tetapi kesihatan?

Justeru rakyat perlu menghargai pengorbanan mereka ini dengan mematuhi  arahan-arahan yang dikeluarkan melalui Perintah Kawalan Pergerakan. Hanya dengan sokongan serta tanggungjawab kita, akhirnya matlamat untuk melihat wabak ini dibendung atau kes dikurangkan dapat dicapai.

Jika ini berlaku, maka secara tidak langsung dapat meringankan beban yang sedang ditanggung oleh mereka di dalam kumpulan perkhidmatan kesihatan ini. Sekurang-kurangnya setelah kekurangan pesakit dan kemaraan wabak dapat dibendung maka mereka mendapat sedikit ruang untuk berehat.

Harus diingat, mereka juga terdedah kepada risiko jangkitan kerana berdepan dengan kes yang cepat merebak ini. Kita tidak berada di tempat mereka tetapi sudah tentu memahami beban yang ditanggung. Seperti kita, mereka juga ada keluarga yang harus disantuni.

Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.

Setiap daripada kita sekurang-kurangnya ada ayah, ibu, suami, isteri, anak, kakak, abang, adik, cucu, saudara mara, sahabat handai, jiran dan sebagainya yang terlibat dalam perkhidmatan kesihatan ini. Justeru hargailah mereka dengan mematuhi arahan yang dibuat supaya mereka juga akhirnya dapat ‘bercuti’ atau berehat, tidak terus terperuk di tempat kerja.

Perbetulkan ‘kesilapan’ yang sudah berlaku dalam tempoh sehari dua ini akibat panik membeli-belah dan pulang ke kampung. Mungkin kita belum ada pengalaman menghadapi situasi sebegini rupa. Banyak ruang yang perlu diperbaiki.

Perkara sudah berlaku. Terlajak perahu boleh diundur terlajak perbuatan buruk padahnya. Perbetulkan tabiat orang kita yang pantang mendapat cuti akan terus ‘merayau’ memenuhi jalan raya dan lebuh raya dan stesen pengangkutan awam untuk pulang ke kampung. Mereka lupa cuti kali ini adalah cuti luar biasa, bukan cuti hari raya.

Benar kesilapan tidak boleh diletak di bahu mereka yang panik ini kerana banyak pihak yang seharusnya lebih peka. Semuanya disebabkan arahan yang tidak tepat, bercelaru dan keliru. Mungkin peringatan secara langsung perlu digunakan seperti JANGAN BALIK KAMPUNG atau KEKAL TINGGAL DI TEMPAT ANDA.Mungkin juga lakukan sahaja perintah berkurung.

Apa pun, inilah masanya rakyat menyumbang untuk kesejahteraan rakyat Malaysia seluruhnya. Kerajaan tidak meminta anda menghulurkan wang ringgit walaupun itu juga satu keperluan. Kerajaan merayu komitmen anda.

Maka mulai hari ini sama-sama kita saling ingat mengingatkan supaya mengelakkan diri dari terlibat dalam kegiatan yang sudah disenaraikan semasa pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin baru-baru ini. Dalam erti kata lain duduk diam di rumah. Jangan berpeleseran atau pulang ke kampung seolah olah sedang cuti hari raya.

Ingat penglibatan kita untuk menghormati dan mematuhi arahan pemerintah supaya  akhirnya boleh memberi impak yang besar. Siapa pun kita, berilah kerjasama. Jika tidak cuti ini menjadi sia-sia malahan lebih memudaratkan.

Tolong jangan ambil mudah dengan wabak ini. Jangan main-main. Buang sikap tak kisah. Jangan mudah bercakap, kalau sakit ada hospital. Mereka yang petah bercakap seperti ini lupa, kalau hospital ketika itu sudah melimpah dengan pesakit, maka waktu itu tidak terlayan kakitangan hospital. Waktu itu, semuanya tidak berguna lagi.

Semoga rakyat Malaysia dilindungi daripada gelombang Covid-19 yang lebih dahsyat.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here