IOC berdegil teruskan Sukan Olimpik Tokyo 2020, Julai ini

0
278

Oleh KAKI BANGKU
KETIKA badan induk sukan dunia lain bertindak lebih awal dengan menangguhkan pelbagai kejohanan besar terutama bola sepak gara-gara bimbang akan penularan wabak maut Covid-19, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pula memilih untuk menongkah arus.

Kelayakan Piala Dunia, Euro dan Copa America 2020 sudah pun terpaksa dianjakkan tarikhnya namun IOC berdegil untuk meneruskan Sukan Olimpik Tokyo yang dijadualkan pada 24 Julai hingga 9 Ogos ini dengan alasan masih ada empat bulan lagi untuk mengambil tindakan sedrastik itu.

Siaran media IOC bertarikh semalam menyebut: “IOC tetap komited sepenuhnya dengan Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan dengan lebih empat bulan yang tinggal, tiada keperluan untuk membuat sebarang tindakan drastik pada peringkat ini. Sebarang spekulasi ketika ini akan menjadi bercanggah (dengan hasrat itu).

“IOC menggalakkan semua atlet untuk terus membuat persediaan bagi Olimpik Tokyo 2020 sedaya upaya mereka. Kami akan terus menyokong atlet-atlet dengan menasihati mereka dan majlis Olimpik kebangsaan (NOC) mereka.

BENDERA Pergerakan Olimpik Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

“Kami akan menyediakan mereka dengan maklumat dan perkembangan terbaharu yang boleh diperoleh atlet-atlet di seluruh dunia pada laman sesawang Athlete365 dan NOC dan IF (persekutuan sukan) masing-masing,” kata siaran media itu.

IOC menurut siaran itu, telah berunding dengan semua pemegang taruh Olimpik Tokyo 2020 dengan yang pertamanya ialah IF sukan musim panas Olimpik.

“Mereka yang dengan NOC, wakil-wakil atlet, Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC), lain-lain IF dan pemegang-pemegang taruh yang lain akan menyusul dalam beberapa hari akan datang.

“IOC akan terus bertindak sebagai sebuah pertubuhan yang bertanggungjawab. Dalam konteks ini, IOC meminta semua pemegang taruh dalam bidang kuasa mereka untuk berbuat apa sahaja dalam menyumbang kepada pembendungan virus itu.

THOMAS Bach, Presiden IOC. – Foto olympic.org

“Ini merupakan satu situasi luar dugaan bagi seluruh dunia dan fikiran kami bersama-sama semua yang terjejas akibat krisis ini. Kami bersatu padu dengan seluruh masyarakat untuk berbuat apa sahaja dalam membendung virus ini.

“Situasi sekitar Covid-19 turut menjejaskan persediaan bagi Olimpik Tokyo 2020 dan berubah hari ke hari.

“IOC yakin bahawa banyak langkah telah diambil oleh banyak pihak berkuasa seluruh dunia akan membantu membendung situasi Covid-19. Dalam konteks ini, IOC mengalu-alukan sokongan pemimpin-pemimpin G7 seperti yang dinyatakan Perdana Menteri Jepun, Abe Shinzo,” kata siaran itu.

Siaran media IOC itu memetik Shinzo berkata, “saya mahu melangsungkan Olimpik dan Paralimpik dengan sempurna, sebagai bukti bahawa umat manusia akan menakluki Coronavirus baharu itu dan saya beroleh sokongan baginya daripada para pemimpin G7.”

IOC menambah dalam siaran itu, “kami telah bersetuju dengan prinsip-prinsip berikut berhubung menganjurkan

Olimpik Tokyo 2020:

1.Untuk melindungi kesihatan semua orang yang terlibat dan menyokong pembendungan virus itu.

2.Untuk menjaga kepentingan atlet-atlet dan jenis sukan Olimpik.
“IOC akan terus memantau situasi ini 24 jam dan tujuh hari. Pada pertengahan Februari sebuah pasukan bertindak telah ditubuhkan yang mengandungi IOC, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020, pihak berkuasa Jepun dan kerajaan metropolitan Tokyo.

“IOC akan terus mematuhi panduan jawatankuasa ini. Keputusan kami tidak akan ditentukan oleh kepentingan kewangan kerana hasil dasar pengurusan risiko dan insurans, kami akan mampu meneruskan operasi dan memenuhi misinya untuk menganjurkan Sukan Olimpik,” kata siaran itu.

Siaran itu turut memetik Presiden IOC, Thomas Bach berkata, “kesihatan dan kesejahteraan semua yang terlibat dalam persediaan bagi Olimpik Tokyo 2020 menjadi keprihatinan nombor satu kami. Semua langkah telah diambil dalam menjaga keselamatan dan kepentingan atlet-atlet, jurulatih-jurulatih dan pasukan-pasukan sokongan.

“Kami ialah sebuah komuniti Olimpik, kami menyokong satu sama lain dalam masa-masa senang dan sukar. Persaudaraan Olimpik ini menjelaskan kami sebagai sebuah komuniti.”

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here