Santuni mereka yang hilang pendapatan

0
635
MAKANAN hanya untuk dibungkus dan dibawa pulang.

BAGI mereka yang bergaji tetap, mungkin tidak ada masalah untuk ‘berkurung’ 14 hari di rumah bersama keluarga. Malahan lebih seronok lagi ‘bekerja dari rumah’ sambil bersama anggota keluarga dalam saat-saat yang sukar ini. Bukan mudah untuk bersama, jika ada pun pada cuti hujung minggu.

Masalahnya bagi mereka yang bekerja sendiri, ada kerja ada gaji, tidak bergaji tetap, berniaga kecil-kecilan, jual nasi lemak, air balang atau goreng pisang di tepi jalan atau pasar malam. Begitu juga mereka yang diberi cuti tanpa gaji ketika musim wabak Covid-19 ini. Tidak kurang juga yang kerjanya mengutip barang lusuh.

Dalam erti kata lain golongan yang terpaksa keluar untuk kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Sekarang mereka terkurung.

Semalam saya bertanyakan Pak Lang dan Pak Long yang kerja mereka memandu teksi. Saya bertanya bagaimana ‘kayuhan’ hari pertama penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan? Untuk makluman, mereka juga menggunakan aplikasi Grab supaya dapat bersaing mencari penumpang.

Mereka keluar juga mencari rezeki pada hari pertama perintah larangan. Kata mereka tak cari tak makan. Jalan lengang, mudah perjalanan tetapi siapa yang ada? Berapa hasil pendapatan? Pak Lang beritahu RM40. Cukup? Selepas ditolak duit minyak, berapa yang tinggal? Bayaran kereta bagaimana? Kebetulan kereta baharu, Avanza selepas kereta lama dah sampai tarikh luput.

Itu suasana hari pertama. Bagaimana hari-hari seterusnya? Apabila perintah larangan ini dikuatkuasakan, siapa yang akan keluar dari rumah dengan menggunakan teksi atau Grab? Pelancong tidak ada. Orang tempatan jika keluar pun mahu ke mana walaupun ada perniagaan dan pejabat yang beroperasi.

Begitu jugalah bagi yang saban hari berniaga secara kecil-kecilan. Pastinya mereka terputus pendapatan dan terpaksa bergantung kepada simpanan yang ada atau modal pusingan yang sepatutnya diasingkan untuk meneruskan perniagaan.

Memang benar ada usaha untuk membantu mereka ini tetapi mungkin tidak semua mendapat manfaat. Contohnya mereka yang menyewa tapak perniagaan dikecualikan membayar sewa selama sebulan. Tetapi yang lain bagaimana? Mereka yang benar-benar hilang pendapatan. Jika berniaga pun tidak ada pelanggan.

Justeru pihak berkuasa perlu memberi perhatian terhadap golongan ini. Tidak semua, kerana ada yang walaupun berniaga di tepi jalan tetapi hasilnya lumayan.

Satu gerakan mengenal pasti mereka yang terlibat perlu dibuat bagi mengenal pasti mereka yang benar-benar memerlukan bantuan. Pusat zakat boleh memainkan peranan ini khususnya bagi menyantuni masyarakat Islam. Pada masa yang sama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga perlu memainkan peranan mereka.

Mengharapkan pusat zakat semata-mata akan ada yang tercicir. Maka tidak ketinggalan pelbagai persatuan di peringkat daerah dan kawasan,
wakil rakyat, jawatankuasa kariah masjid dan apa juga kumpulan yang boleh membantu kerajaan menyantuni mereka yang amat memerlukan bantuan.

Sekurang-kurangnya keprihatinan mereka dapat membantu. Ketika inilah wang tabung masjid yang bertimbun-timbun dimanfaatkan untuk anak-anak kariah yang benar-benar memerlukan. Begitu juga peranan untuk membantu golongan ini meringankan beban mereka kesan ketiadaan punca pendapatan..

Jangan biarkan mereka kelaparan dan berdepan kesukaran membayar sewa rumah bil elektrik dan air. Bantulah di mana perlu ketika kesukaran ini.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here