Bantuan tentera digerakkan Ahad ini, tiada rancangan perintah darurat

0
161
fotoBERNAMA

Oleh FETTY RARA

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengambil keputusan untuk menggerakkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula Ahad ini bagi membantu polis dalam usaha menguatkuasakan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan orang awam.

Ini bagi memastikan rakyat berada di rumah masing-masing sepanjang tempoh penguatkuasaan perintah tersebut, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media hari ini.

Menurut beliau walaupun terdapat peningkatan pematuhan dalam kalangan rakyat, namun masih ada yang tidak mempedulikannya.

Ismail Sabri juga menafikan penyebaran berita kononnya beliau akan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong supaya perintah darurat dilaksanakan.

“Semalam pelbagai berita palsu diedarkan hingga menambah panik dalam kalangan rakyat. Ada yang kongsi klip audio, dalam Facebook mengatakan kononnya Menteri Pertahanan akan umum perintah darurat selepas dapat perkenan Agong.

“Saya tidak tahu Menteri Pertahanan mana kerana sememangnya tiada rancangan untuk diadakan perintah darurat. Berita palsu kononnya aset tentera sudah digerakkan untuk perintah darurat pun tidak betul. Saya nasihatkan rakyat jangan mudah percaya.

“Begitu juga kononnya pihak tentera akan menyemburkan racun serangga menggunakan helikopter untuk membasmi wabak Covid-19. Saya harap rakyat tidak percaya dan boleh semak menerusi hotline dengan kementerian masing-masing,” katanya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here