Olimpik 2020 dan Covid-19: Rujuk kerajaan dulu, MOM – Zolkples

0
527
ZOLKPLES Embong.

Oleh KAKI BANGKU

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) patut merujuk kepada kerajaan terlebih dulu khususnya Menteri Belia dan Sukan daripada secara melulu menyatakan sokongan supaya Sukan Olimpik Tokyo 2020 diteruskan Julai ini di tengah-tengah kebimbangan dunia terhadap wabak maut Coronavirus (Covid-19).

Menyokong pendirian Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) itu dalam sidang video semalam bererti MOM juga bersedia menghantar kontinjen negara sedangkan saranan Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria kelmarin ialah agar temasya edisi ke-32 itu ditangguhkan dulu.

“Bagaimana boleh ada dua kenyataan MOM yang bercanggah dalam masa sehari? Hari Rabu, MOM cakap tangguh tetapi esoknya, sokong teruskan Olimpik pula. Tidak boleh main-main dalam hal yang seserius ini yang melibatkan kesihatan dan keselamatan atlet-atlet dan pegawai kontinjen kita.

“Dalam isu Covid-19 yang mengancam seluruh dunia, MOM juga kena rujuk dulu dengan Menteri Belia dan Sukan (Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican) dan kerajaan. Tidak perlu terburu-buru mereka buat pendirian sekarang untuk sokong IOC dan hantar atlet ke Olimpik.

“Ingatkah kita bagaimana kerajaan memboikot Sukan Olimpik Moscow 1980 sebagai membantah pencerobohan rejim Kesatuan Soviet terhadap Afghanistan sampai pasukan bola sepak kita yang sudah layak dengan kalahkan Korea Selatan 2-1, pun kempunan pergi.

REEZAL MERICAN Naina Merican.

“Walau seramai mana atlet kita yang sudah layak Olimpik pun, kerajaan Malaysia masih mempunyai kata pemutus muktamad apabila berkaitan keselamatan rakyatnya,” kata mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkples Embong kepada BebasNews hari ini.

Media tempatan hari ini melaporkan MOM mengambil pendirian untuk menyertai semua badan Olimpik di benua Asia dalam pengundian menyokong Olimpik Tokyo 2020 diteruskan mengikut jadual, 24 Julai hingga 9 Ogos ini ketika sidang video selama sejam setengah semalam.

“Semua wakil Olimpik Asia termasuk China, Jepun, Korea Selatan dan India mengundi untuk menyokong keputusan itu setelah mendengar penjelasan dan jaminan IOC dalam sidang video untuk mengambil langkah sewajarnya dalam tempoh empat bulan (menjelang Olimpik Tokyo),” kata Norza kepada sebuah akhbar harian.

Zolkples turut sangsi dengan sama ada ancaman Covid-19 mampu diredakan atau menurun dengan pelbagai langkah diambil kebanyakan negara dalam tempoh empat bulan menjelang ke Olimpik seperti yang masih diyakini IOC dan jaminan serta komitmen yang dinyatakan Perdana Menteri Jepun, Abe Shinzo.

MOHAMAD Norza Zakaria (kanan) dan Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd. Nazifuddin Najib

“Angka kesnya semakin meningkat sekarang di Malaysia malah seluruh dunia. Bagaimana atlet-atlet hendak bersedia dengan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara. Latihan dan pendedahan pertandingan dalam dan luar negara pun tidak dapat dijalankan. Bolehkah mereka berada pada tahap persediaan terbaik untuk memburu pingat?

“Saya juga sangsi dengan IOC sedangkan FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) pun boleh tangguhkan semua Kelayakan Piala Dunia, Euro dan Copa America 2020 yang jadualnya turut hampir dengan Olimpik Tokyo (musim panas). Bukankah dalam saingan bola sepak Olimpik nanti, IOC masih perlu berhubung dengan FIFA?,” katanya.

Menurut sejarah Sukan Olimpik era moden yang diasaskan pada 1896, temasya ini hanya pernah dibatalkan tiga kali akibat Perang Dunia Pertama dan Kedua bagi edisi 1916, 1940 dan 1944.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here