Covid-19: Bukan masanya untuk berlembut lagi

0
676
PEGAWAI Siasatan Khas D9 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, ASP Norsanizam Nordin (dua, kiri) dan pegawai menasihatkan pekerja sebuah kedai serbaneka supaya mengalihkan meja bagi mengelakkan orang ramai berkumpul susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula 18 Mac sehingga 31 Mac ini sebagai langkah mengekang penularan jangkitan COVID-19 ketika Ops COVID-19 di sekitar Bandar Sunway BARU-BARU INI. --fotoBERNAMA

Oleh MOWARDI MAHMUD

TIBA masanya Kerajaan mengambil tindakan lebih keras dan tegas.

Mungkin ada yang tidak bersetuju tetapi kita berdepan dengan soal hidup dan mati. Bukan hanya bagi mangsa Covid-19 tetapi juga mereka yang berada di barisan hadapan termasuklah kakitangan dan pegawai perubatan.

Dalam keadaan yang bertambah genting, pendekatan yang jauh lebih tegas dan keras perlu diambil.

Kes Covid-19 di Malaysia telah melepasi angka seribu, apabila Kementerian Kesihatan mengumumkan 130 lagi kes yang baru hari ini (Jumaat), menjadikan jumlah keseluruhan 1,030 kes. Ini sekali gus menjadikan kes di Malaysia semakin meningkat.

Perlukah Kerajaan mengambil lebih masa lagi untuk bertindak, adakah ketidakpopularan di mata rakyat menjadi kekhuatiran. Bukankah nyawa rakyat yang lain dan masa depan negara harus menjadi keutamaan.

Malaysia bakal kehilangan mereka yang menjadi aset penting negara sekiranya keadaan bertambah buruk selain megalami kerugian besar dari segi ekonomi.

Contohnya untuk melahirkan seorang doktor yang kini bertugas merawat mangsa bukan melibatkan kos yang kecil dan masa yang singkat. Bayangkan jika ramai diantara mereka berdepan dengan maut sikap acuh tidak acuh sesetengah pihak yang disyaki dijangkiti Covid-19.

Malah, sebelum ini pun, Kerajaan telah kerugian besar dari segi tenaga kerja mahir apabila meningkatnya bilangan nahas di jalan-jalan raya.

Tindakan melanjutkan tempoh perintah kawalan pergerakan sebenarnya bukanlah sesuatu yang sukar untuk dilakukan tetapi ia lebih banyak merugikan. Ini kerana bukan hanya rakyat akan terus sukar menjalani kehidupan kerana ketiadaan sumber kewangan tetapi sektor perniagaan dan ekonomi turut terjejas teruk.

Sebelum ini, ramai yang mempersoalkan kewajaran tindakan diambil negara China yang kononnya terlalu keras pada pengamatan negara-negara luar tetapi akhirnya rakyat dan negara itu sudah mulai pulih.

Di Malaysia, penguatkuasaan merupakan antara kelemahan ketara. Perkara ini bukan baharu dan bukan rahsia lagi baik dahulu dan sekarang.

Menyedari hakikat ini, penguatkuasaan yang menyeluruh melibatkan bantuan pihak tentera patut dilaksanakan lebih awal. Bahkan, perintah darurat boleh dijadikan pilihan sekiranya ia gagal membuahkan hasil diharapkan.

Tindakan berkenaan menampakkan bahawa Kerajaan serius dalam menangani kemelut yang dihadapi.

Kerajaan perlu berani bertindak melaksanakan langkah yang dianggap terbaik untuk rakyat selain memastikan wujudnya komunikasi yang jelas, pantas dan tepat.

Hakikat ini jelas, apabila bantuan makanan kepada para pelajar institusi pendidikan diumumkan selepas ribuan mereka telahpun bolos ke kampung masing-masing sedangkan sepatutnya kekal di asrama untuk mengekang wabak Covid-19.

Sememangnya benar, wabak Covid-19 sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini dan melibatkan banyak negara bukan hanya Malaysia. Namun, ia bukan alasan untuk tidak melakukan tindakan yang terbaik dan berkesan.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here