Jangan tunggu mati setiap 10 minit, baru nak sedar

0
579
KAKITANGAN hospital mengambil saringan suhu badan pelawat yang datang ke Hospital Sungai Buloh bagi mencegah kemungkinan jangkitan Covid-19. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Oleh AHMAD ABD HAMID

SEHINGGA ini tiga kematian dicatatkan di Malaysia akibat jangkitan Koronavirus atau COVID-19 manakala jumlah jangkitan terus bertambah.

Sehingga Khamis 19 Mac, 110 kes baharu dilaporkan menjadikan kes yang disahkan kini mencecah angka 900 orang.

Dengan perkembangan ini, Malaysia menduduki tempat keempat tertinggi merekodkan kes COVID-19 di Asia selepas China, Iran dan Korea Selatan.

Jelas sekali ancaman wabak COVID-19 di negara ini sememangnya sangat serius. Ia bukan isu remeh seperti yang mungkin dianggap oleh ramai rakyat negara ini.

Malang sekali, masih terdapat rakyat memandang ringan terhadap Peraturan Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan oleh kerajaan mulai 18 hingga 31 Mac.

Tidakkah mereka bimbang kemungkinan lebih buruk bakal menanti jika mereka terus degil?

Ke manakah perginya pertimbangan waras mereka ketika kerajaan serta para petugas barisan hadapan perubatan bertungkus lumus mengekang COVID-19.

Tidak bolehkah orang ramai sama-sama berkorban sedikit membantu kerajaan? Orang ramai hanya diminta duduk di rumah untuk menghindarkan risiko penularan wabak tersebut.

Sukarkah untuk melakukan pengorbanan yang sebegini kecil ini dibandingkan dengan para petugas perubatan yang melaksanakan tugas melindungi rakyat? Mereka berdepan dengan risiko lebih tinggi kerana boleh dijangkiti.

Jika kita masih beranggapan COVID-19 itu isu remeh, hayati dan fahami apa yang berlaku di Iran. Seorang mati setiap 10 minit di negara itu akibat COVID-19 sementara 50 orang dijangkiti wabak tersebut setiap satu jam.

Angka kematian akibat COVID-19 di Iran mencecah 1,135 orang pada Rabu lalu dan perkembangan ini sangat membimbangkan.

Inilah kali pertama angka kematian mencapai empat digit. Pada masa sama 1,192 kes baharu disahkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes di Iran sehingga ini kepada 17, 361 kes.

Seorang doktor yang bertugas di Hospital Tehran juga dilaporkan meninggal pada Khamis akibat COVID-19, menjadikan jumlah doktor yang terkorban akibat wabak berkenaan kepada 10 orang.

Selain itu empat orang jururawat juga turut menjadi mangsa virus pembawa maut itu.
Tidakkah perkembangan di Iran ini menakutkan kita? Bayangkan kematian berlaku setiap 10 minit, yang turut mengorbankan ramai doktor dan jururuwat.

Patuhilah arahan kerajaan dengan rela hati. Seboleh-bolehnya tidak perlu sehingga kerajaan melaksanakan penguatkuasaan lebih ketat dan tanpa budi bicara. Namun jika terus berdegil mugkin ‘kekerasan’ wajar dijadikan opsyen.

Sehingga kini Malaysia masih dilindungi oleh Allah daripada penularan COVID-19 lebih teruk.

Namun kita terus perlu berusaha dan berikhtiar agar wabak ini dapat dihindari sepenuhnya. Berilah sumbangan anda: Duduk di rumah!

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here